Ahli Umno diminta pilih pemimpin berpengalaman

http://www.bharian.com.my/

 

Oleh Abdul Razak Raaff dan Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my

Faktor usia bukan kriteria pencalonan: Mohamed Khaled 

PUTRAJAYA: Ahli Umno diminta memilih calon di kalangan mereka yang mempunyai keupayaan, kemampuan serta rekod kerja baik dan bukan berdasarkan usia bagi meneruskan perjuangan serta memulihkan keyakinan orang ramai terhadap Umno. 

Calon Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Umno memerlukan gabungan pemimpin berpengalaman dan mampu menyumbang kepada parti tanpa mengira usia.

“Saya tidak melihat usia sebagai kriteria pencalonan kerana ia hanya kebetulan. Akhirnya, mereka (perwakilan) akan lebih melihat kepada kemampuan, keupayaan tenaga, semangat dan idea. 

“Ia bukan mengenai usia dan bukan mengenai calon berusia 60 tahun melawan calon 30 tahun kerana jika begitu Umno tidak akan berubah,” katanya, semalam. 

Beliau mengulas kecenderungan mesyuarat perwakilan bahagian yang bersidang sejak 9 Oktober lalu, memilih calon Naib Presiden di kalangan mereka yang berusia bawah 60 tahun.

Sehingga semalam, hanya Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berjaya melepasi kuota 20 pencalonan bertanding Naib Presiden. 

Calon lain menawarkan diri ialah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, Tan Sri Isa Samad, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis. 

Sementara itu, Syed Hamid berkata, pemimpin lama Umno tidak perlu merungut jika ahli akar umbi mahu lebih ramai pemimpin generasi muda mengambil alih teraju kepemimpinan kerana ia adalah satu proses semula jadi yang tidak boleh dielak. 

“Bagaimanapun, lebih baik jika diwujudkan gabungan pemimpin lama dan baru. Bila pemimpin lama berundur, generasi baru yang cukup pengalaman, pendedahan dan interaksi akan ambil alih kepemimpinan, tetapi kita tidak boleh ada semua pemimpin baru atau yang lama,” katanya yang kini berusia lebih 60 tahun .

Beliau bagaimanapun, yakin melepasi kuota 20 pencalonan ditetapkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden kerana hanya perlukan 14 lagi pencalonan. 

Mengenai kenyataan Ketua Parti Bersatu Pasukmomogun Kadazandusun dan Murut (Upko) bahagian Inanam, Albert Bingkasan yang dipetik sebagai berkata, parti komponen Barisan Nasional (BN) sepatutnya terbabit dalam pemilihan dan pelantikan Perdana Menteri, Syed Hamid berkata, itu hak beliau memberi pendapat. 

“Pada saya lebih elok kita biarkan saja tradisi ini (Presiden Umno terus dilantik sebagai Perdana Menteri), tetapi sesiapa nak beri pendapat adalah hak masing-masing,” katanya. 

Pada Persidangan Perwakilan Upko Ahad lalu, Bingkasan berkata, satu mekanisme perlu diwujudkan bagi membolehkan pemimpin parti komponen BN mempunyai suara dalam memilih Perdana Menteri dan Timbalan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s