Mahathir: Sudah ada usaha gagalkan Najib ganti Pak Lah

http://www1.mstar.com.my/

KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata sudah ada usaha pihak tertentu untuk memburukkan imej Datuk Seri Mohd. Najib Razak, seolah-olah mahu menggagalkan langkah Timbalan Presiden Umno itu untuk mengisi jawatan Presiden.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, apa yang dihadapi Najib sekarang sama dengan pengalaman beliau sendiri yang dilempar dengan pelbagai tuduhan setelah bersara Oktober 2003 untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadapnya.

Kata Dr. Mahathir, tindakan membuat bermacam-macam tohmahan yang tidak dapat dibuktikan terhadap Najib itu tidak menghairankan beliau kerana memang itulah pendakatan yang digunakan pihak tertentu untuk menghakis kepercayaan rakyat terhadap Timbalan Perdana Menteri itu.

“Saya pun menghadapi perkara yang sama. Saya dilabelkan dengan macam-macam nama dan banyak tohmahan dan tuduhan dilemparkan terhadap saya, sehingga ke peringkat menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja bagi mencari kesalahan saya, tetapi tidak satu pun yang dapat dibuktikan.

“Akhbar juga digunakan untuk memburuk-burukkan saya.

“Saya tahu akhbar diberi arahan oleh pihak tertentu untuk buat begitu,” kata beliau kepada mStar Online di pejabatnya di sini, hari ini.

Najib setakat ini telah mendapat pencalonan untuk bertanding jawatan presiden parti daripada kesemua 30 bahagian Umno yang telah pun bermesyuarat.

Dua minggu lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno.

Ditanya sama ada beliau kini rasa “terbela” kerana tidak lagi disisihkan oleh pemimpin-pemimpin Umno dan pemimpin kerajaan seperti yang terbukti dengan kehadiran ramai pemimpin Umno dan anggota Kabinet pada satu majlis rumah terbuka di mana beliau adalah tetamu kehormat tiga hari lalu, Dr. Mahathir berkata, perkara seperti itu tidak sepatutnya menjadi satu isu besar.

Katanya, ia menjadi satu isu apabila arahan dikeluarkan oleh pihak tertentu menghalang pemimpin-pemimpin Umno dan anggota-anggota Kabinet daripada menghadiri program di mana beliau sendiri akan hadir.

“Mereka diarah jangan dekat dan berjumpa dengan saya.

“Saya juga tidak diberikan platform untuk memberikan pendapat. Media pun disekat. Ini tidak sepatutnya berlaku.

“Ia tidak pernah berlaku pada pemimpin-pemimpin sebelum saya,” katanya.

Jelas bekas Presiden Umno itu, “apabila (Allahyarham) Tunku Abdul Rahman bersara, beliau terus bebas untuk berjumpa dan bertemu dengan pemimpin-pemimpin Umno dan anggota-anggota Kabinet ketika itu.”

“Beliau malah mempunyai satu ruangan khas di akhbar. Begitu juga dengan pemimpin lain yang telah bersara, mereka tidak pernah dihalang berjumpa dengan sesiapa,” tambah Dr. Mahathir yang Mei lalu keluar daripada Umno.

Beliau telah menyatakan kesediaan untuk ke pangkuan Umno bulan lalu.

Dr. Mahathir berkata, sepanjang menjadi Perdana Menteri beliau sentiasa bersikap terbuka terutama apabila berhadapan dengan media dengan tidak melarikan diri atau enggan menjawab sebarang soalan yang dikemukakan.

Katanya, sikap yang sama juga beliau amalkan selepas bersara walaupun tidak disenangi sesetengah pihak.

“Mereka cuba sekat platform saya untuk bercakap. Tetapi kalau saya nampak sesuatu tidak betul, takkan saya hendak diam,” katanya.

Dr. Mahathir mendakwa, langkah menyekat beliau daripada bertemu pemimpin-pemimpin Umno dan kerajaan serta campurtangan dalam urusan media itu adalah sebahagian daripada usaha orang-orang di sekeliling Abdullah yang mahu menonjolkan beliau sebagai seorang Perdana Menteri yang lebih baik.

“Mereka bukan mementingkan pentadbiran negara, tetapi mahu menunjukkan bahawa beliau (Abdullah) adalah seorang Perdana Menteri yang lebih baik daripada saya.

“Mereka bukan sahaja mahu pastikan Abdullah akan meninggalkan legasinya sendiri, tetapi juga mahu memusnahkan apa yang saya telah buat selama menjadi perdana menteri,” tambahnya.

Dr. Mahathir bagaimanapun tidak mahu apa yang beliau terpaksa lalui apabila disisih oleh pemimpin-pemimpin Umno dan kerajaan sebaik bersara turut menimpa Abdullah apabila beliau bersara kelak.

“Ia tidak patut berlaku kerana perbuatan seperti itu tidak bagus,” katanya.

4 responses to “Mahathir: Sudah ada usaha gagalkan Najib ganti Pak Lah

  1. penulis_cyber

    Persepsi dari seorarng mantan Perdana Menteri…Tapi kerajaan dah jawab semua tuduhan dan dakwaan mantan PM tersebut.

    cuma, alangkah elok duduk diam diam sahaja dan biarkan Pak Lah habiskan waktu terakhirnya ( jika benar ) sebagai Perdana menteri..

    Janganlah kacau lagi…

    Jika dah rezeki Datuk Seri Najib tentu tak ke mana jawatan PM yang diidam idamkannya….

  2. ya, kenapa takut.. duk diam2 dah la. hehe.

  3. Eddy BR Cocos

    Apakah teori2 ini yg selalu diperkatakan boleh jadi kenyataan: 1. Teori RAHMAAN [Tunku ARahman, Tun ARazak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir, Abdullah Badawi, Anwar Ibrahim, Najib ]. 2. Teori RAHMAT [Tunku ARahman, Tun ARazak, Tun Hussein, Tun Mahathir, Abdullah Badawi, Tengku Razaligh]. 3. Teori RAHMAH [Tunku ARahman, Tun ARazak, Tun Hussein, Tun Mahathir, Abdullah Badawi, Hadi Awang]. Dlm buku Hikayat Hang Tuah: “Tidak Melayu Hilang di Dunia” apakah bermakna Melayu tidak pupus? sedangkan amalan orang Melayu lebih ke arah mementing diri [pemimpin] tak peduli lagi pasal Tanah Melayu, Kampung Melayu [jadi Kg Baru], Orang Melayu (ekonomi dan sosialnya biasa2 aje); lebih membicara isu2 BABI, suka2 adu domba sesama bangsa sendiri, kok tinggal Utusan Melayu nanti jadi penyambung hikayat Dilema Melayu. Wahai bangsaku MELAYU – Bersatupadulah kita semua.

  4. bersatu teguh, bercerai roboh

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s