UMNO buli parti komponen persepsi salah – Abdullah

http://www.utusan.com.my/

Abdullah Ahmad Badawi mengangkat tangan Ong Ka Ting sambil diperhatikan Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden MCA, Tan Sri Chan Kong Choy (kiri) selepas menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-55 di Wisma MCA di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 18 Okt. – Persepsi bahawa UMNO membuli parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) adalah persepsi salah dan ia tidak pernah berlaku, tegas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sebaliknya kata Perdana Menteri, persepsi itu sengaja dicetuskan dan dimainkan oleh parti pembangkang supaya parti-parti dalam komponen BN bergaduh sesama sendiri.

“Memang pun parti pembangkang mahu mewujudkan persepsi tidak baik terhadap BN, itu adalah strategi mereka yang sepatutnya difahami semua orang,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-55 di Wisma MCA di sini hari ini.

Menurutnya, adalah tidak wajar parti-parti komponen BN bergaduh sesama sendiri kerana percaya dengan dakwaan bahawa UMNO bertindak membuli parti lain.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, selama ini para pemimpin parti-parti komponen akan duduk berbincang dalam suasana baik jika timbul sesuatu masalah yang perlu diselesaikan termasuk pada tengah malam atau awal pagi.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting yang bakal melepaskan jawatan pada pemilihan parti itu kali ini.

”Isu UMNO membuli parti lain tidak bermula dengan aduan daripada parti komponen tetapi dimulakan oleh parti pembangkang yang mahu memperlecehkan BN.

”Itu kerja pembangkang untuk melemahkan kita dan menimbulkan perasaan benci ahli parti terhadap pemimpin,” kata Abdullah.

Beliau juga menolak anggapan bahawa Ka Ting adalah Presiden MCA yang lemah seperti dakwaan pihak tertentu kerana banyak perkara telah dibawa oleh pemimpin masyarakat Cina itu kepada kerajaan.

Katanya, Ka Ting bukan orang yang berkelakuan kasar dan mempunyai perasaan benci terhadap orang lain tetapi dalam kelembutannya itu, beliau sentiasa memperjuangkan agenda MCA.

”Beliau akan membawa sesuatu perkara ke dalam Kabinet dan kita membincangkannya dalam suasana yang baik dan saling membantu serta menegur agar masalah rakyat dapat diselesaikan,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri yang akan menyerahkan jawatan kepada Najib Mac tahun depan berkata, beliau komited dalam melaksanakan reformasi dalam pentadbiran kerajaan dan bidang kehakiman.

”Saya mahu memastikan walaupun dalam masa singkat ini, pembaharuan itu akan dipersetujui oleh Parlimen dan pengganti saya, Najib juga telah menyatakan sokongannya terhadap langkah ini,” katanya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s