Khairy Layak Bertanding Jawatan Ketua Pemuda

http://www.bernama.com.my/

<!–

By: Ramjit

–>

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) — Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengakhiri penantiannya lebih dua minggu untuk melayakkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti Mac depan, setelah menerima lima pencalonan lagi hari Sabtu.

Sehingga 7 malam, Anggota Parlimen Rembau itu mendapat pencalonan daripada Pemuda Umno bahagian Sembrong, Tangga Batu, Tawau, Sabak Bernam dan Papar untuk memenuhi had kelayakan bertanding iaitu 39 pencalonan.

Dengan lima pencalonan terbaru itu, beliau kini memperoleh 41 pencalonan.

Khairy yang sepatutnya memperoleh 42 pencalonan setakat ini bagaimanapun terpaksa ditolak satu pencalonan berikutan masalah yang dihadapi Pemuda bahagian Gua Musang yang membuat dua pencalonan dalam dua mesyuarat berasingan iaitu pada 23 Okt dan hari Sabtu.

Terdahulu, Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Bahagian Gua Musang yang diadakan pada Khamis lepas dibatalkan kerana tidak mematuhi arahan yang diputuskan di peringkat bahagian.

Katanya pembatalan mesyuarat itu dibuat oleh Ibu Pejabat Umno kerana tidak mengikut tarikh mesyuarat yang diputuskan oleh bahagian yang sepatutnya diadakan pada hari Sabtu.

Pada 23 Okt lepas, bahagian itu mencalonkan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo untuk jawatan Ketua Pemuda, bagaimanapun mesyuarat hari ini pula mencalonkan Khairy.

Umno Bahagian Gua Musang dijangka membuat keputusan mengenai masalah itu pada minggu depan.

Sementara itu, Anggota Parlimen Jerlun yang juga exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Mahathir dan Dr Mohd Khir masing-masing menerima dua pencalonan baru hari ini.

Mukhriz masih mendahului dengan 65 pencalonan manakala Dr Mohd Khir pula memperoleh 32 pencalonan.

Sebanyak 139 daripada 191 bahagian telah mengadakan persidangan perwakilan setakat ini sejak 9 Okt lepas.

Bagi jawatan Naib Ketua Pemuda pula, Anggota Parlimen Muar Razali Ibrahim masih mengungguli persaingan itu dengan mendapat lima lagi pencalonan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 74 pencalonan, manakala pencabar terdekatnya Exco Pemuda Umno Datuk Reezal Merican Naina Merican pula menerima dua lagi pencalonan, menjadikan jumlah keseluruhan 54.

Jumlah yang diperlukan untuk layak bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno ialah 39 pencalonan manakala Naib Ketua Pemuda memerlukan 20 pencalonan.

Calon lain untuk jawatan itu ialah Ketua Pemuda Umno Bahagian Kota Kinabalu Bahrul Razha Chuprat (3), manakala Khairy, Ketua Pemuda Umno bahagian Bagan Marzuki Yahaya, Ketua Pemuda Umno bahagian Subang Megat Firdaus Megat Junid dan Ketua Pemuda Umno bahagian Kapar Faizal Abdullah, masing-masing masih dengan satu pencalonan.

Bagi jawatan presiden parti, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terus menerima pencalonan daripada 11 bahagian Umno yang telah selesai mengadakan persidangan perwakilan hari ini.

Beliau merupakan calon tunggal untuk jawatan itu setelah 77 daripada 191 bahagian Umno mengadakan mesyuarat masing-masing sejak 10 Okt lepas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Naib Presiden Umno menerima enam lagi pencalonan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, menjadikan jumlah pencalonannya setakat ini sebanyak 52.

Bahagian yang mencalonkan beliau terdiri daripada Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Labis, Simpang Renggam, Tanjung Pial dan Tanjung.

Pesaingnya pula Naib Presiden Umno dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam menerima empat pencalonan baru, iaitu daripada Umno bahagian Dungun, Jasin, Tangga Batu dan Setiawangsa, menjadikan jumlah pencalonan yang diterimanya sebanyak 16.

Ketua Penerangan Umno dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib pula menerima satu pencalonan iaitu daripada Umno bahagian Setiu, menjadikan jumlah pencalonan sebanyak sembilan.

Najib dan Muhyiddin telah layak bertanding jawatan masing-masing setelah memenuhi had kelayakan pertandingan iaitu 58 pencalonan bagi jawatan Presiden dan 39 bagi jawatan Timbalan Presiden, pada Ahad lepas.

Sementara itu, bagi pertandingan peringkat Naib Presiden, Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin terus mendahului dengan mendapat sembilan lagi pencalonan hari ini, menjadikan jumlah pencalonan yang diterimanya setakat ini sebanyak 62 pencalonan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menerima tujuh pencalonan dengan menjadikan jumlah pencalonannya 45, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin mendapat tambahan lapan pencalonan dengan menjadikan jumlah pencalonan yang diterimanya sebanyak 38.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula menerima dua lagi pencalonan (34), Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar menerima dua pencalonan (16).

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim, bekas Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik masing-masing menerima satu pencalonan.

Dengan tambahan satu pencalonan itu, Mohd Isa kini mendapat tujuh pencalonan, Rais (6), Jamaludin (5), Rahim (4) dan Mohamad (3).

Sehingga kini, daripada 11 calon, hanya Hishamuddin, Ahmad Zahid, Mohd Khaled dan Mohd Shafie yang telah memenuhi had kelayakan untuk bertanding jawatan itu iaitu sebanyak 20 pencalonan.

Sementara itu, calon lain yang kekal dengan jumlah pencalonan yang diterima sebelum ini ialah bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim (6) dan dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tan Sri Annuar Musa (1).

Bagi Wanita Umno pula, penyandang Naib Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang masih ‘membisu’ sama ada untuk bertanding jawatan ketua pergerakan itu, hari ini terus menerima tujuh lagi pencalonan untuk beliau bertanding jawatan Ketua Wanita.

Beliau yang telah melepasi kuota kelayakan 39 pencalonan untuk bertanding jawatan ketua, menerima pencalonan daripada Wanita Umno Bahagian Tangga Batu, Papar, Pendang, Parit, Sandakan, Kubang Pasu dan Teluk Intan dengan menjadikan jumlah keseluruhan 49 pencalonan.

Penyandang jawatan Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz masih mengungguli jumlah pencalonan dengan menambah 10 lagi pencalonan (Gua Musang, Pasir Mas, Tenggara, Pengerang, Pekan, Sabak Bernam, Jerai, Sri Gading, Kuala Kangsar dan Segamat) dengan menjadikan keseluruhannya 89 pencalonan.

Bagi jawatan Naib Ketua Wanita, Shahrizat dan Exco Wanita Pusat Datuk Kamilia Ibrahim yang telah melepasi kuota kelayakan pencalonan, masing-masing menambah lapan pencalonan (Gua Musang, Pasir Mas, Tenggara, Pekan, Sabak Bernam, Jerai, Sri Gading dan Segamat) dan enam (Tangga Batu, Kuala Kangsar, Parit, Sandakan, Kubang Pasu dan Teluk Intan).

Shahrizat kini mengumpul 87 pencalonan manakala Kamilia pula 34. Had kelayakan untuk bertanding ialah 20 pencalonan.

Ketua Umno Bahagian Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said pula menambah tiga pencalonan iaitu daripada Bahagian Papar, Pengerang dan Pendang, menjadikan keseluruhannya sembilan pencalonan.

Pemimpin lain yang telah menerima pencalonan bagi jawatan Naib Ketua ialah Ketua Umno Johor Datuk Halimah Sadique (dua), Exco Wanita Datuk Dr Norraesah Mohamad (satu) dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Maznah Mazlan (satu).

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s