Kerajaan Pulau Pinang langgar semangat Perlembagaan

http://utusan.com.my/

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Kerajaan Persekutuan digesa menimbangkan untuk membawa kerajaan negeri Pulau Pinang ke muka pengadilan kerana membenarkan pemasangan papan tanda nama jalan dalam pelbagai bahasa di kawasan tapak warisan di Georgetown.

Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, kerajaan negeri itu perlu dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan kerana secara terang-terangan melanggar semangat perlembagaan dan undang-undang negara.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Gabungan Penulis Nasional (Gapena) berkata, undang-undang dan perlembagaan meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa-bahasa lain boleh digunakan dan dipelajari bukan secara rasmi oleh individu dan kaum-kaum.

“Langkah memasang tanda jalan dalam bahasa lain adalah satu perbuatan yang tidak patut dilakukan. Seluruh rakyat Malaysia mesti menolak usaha yang menyamaratakan bahasa kebangsaan dengan bahasa lain.

“Saya harap kerajaan akan mengambil tindakan ke atas kerajaan negeri Pulau Pinang dengan membawanya ke muka pengadilan kerana pada saya ia jelas sudah melanggar semangat untuk mendaulatkan Bahasa Melayu.

“Pada saya, ini satu kegiatan subversif yang cuba melemahkan kerajaan dan sistem undang-undang sedia ada,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui selepas majlis perbincangan buku karya Thock Ker Pong berjudul Ketuanan Politik Melayu: Pandangan Kaum Cina di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang meluluskan permohonan Majlis Perbandaran Pulau Pinang untuk memasang papan tanda nama jalan dalam tulisan Jawi, Tamil dan Cina bagi tujuan warisan di jalan-jalan tertentu di Georgetown.

Menurut Zainal, tindakan undang-undang wajar diambil kerana kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengetepikan undang-undang tertinggi dalam negara ini berkaitan bahasa kebangsaan.

Tambahnya, perbuatan itu dengan jelas dan terang membangkitkan sesuatu yang boleh menimbulkan kontroversi dan pertikaian umum di Malaysia.

“Ia terbukti apabila ada juga usaha di Kuala Lumpur melalui wakil-wakil DAP cuba menaikkan papan tanda menggunakan tulisan Cina dan Tamil. Ini melanggar undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Beliau mengisytiharkan Gapena dan Majlis Muafakat Melayu akan menentang tindakan politik Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan kerajaan negeri itu.

Zainal menyifatkan tindakan tersebut sebagai petanda buruk terhadap nasib Bahasa Melayu.

Dalam pada itu, Ketua I Gapena, Tan Sri Prof. Emeritus Ismail Hussein menegaskan, sejak dahulu lagi Gapena sentiasa menolak usaha kepelbagaian bahasa (multi-lingual) kerana ia adalah di luar kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang itu adalah sesuatu yang tidak patut dan para pemimpinnya mesti mematuhi peruntukan perlembagaan yang menyatakan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan negara ini.

“Tindakan itu menunjukkan warna sebenar pembangkang. Rakyat Malaysia kini dapat melihat sendiri wajah sebenar parti pembangkang,” katanya.

Sementara itu, peguam jenayah terkemuka, Gurbachan Singh berpendapat, dari segi undang-undang langkah kerajaan Pulau Pinang itu tidak menyalahi perlembagaan dan bukan satu kesalahan jenayah.

“Ketua Menteri dan MPPP tidak boleh dituduh di mahkamah kerana keputusan mereka bukan satu kesalahan jenayah,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s