Beli Eurocopter ditangguh, PAC teruskan mesyuarat hari ini

Rabu Oktober 29, 2008

 

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memutuskan untuk menangguhkan pembelian 12 Eurocopter EC-725, yang diumumkan awal bulan lalu bagi menggantikan Nuri, ekoran kesan krisis kewangan yang dihadapi negara.

 

Bagaimanapun ia tiada kaitan dengan pertikaian yang dibangkitkan oleh pembangkang di Parlimen baru-baru ini.

 

Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk meneliti isu pembelian Eurocopter akan diteruskan hari ini walaupun kerajaan telah memutuskan penangguhan pembelian helikopter terbabit.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, rancangan pembelian Eurocopter yang secara keseluruhannya bernilai RM1.67 bilion akan ditangguhkan sehingga keadaan ekonomi mengizinkan.

 

“Pada waktu ini, keputusan yang telah diambil ialah Eurocopter tidak akan dibeli sebab kita memerlukan peruntukan-peruntukan untuk banyak lagi projek yang lain.

 

“Sementara itu, menjimatkan itu adalah amat penting pada waktu ini oleh sebab kita menghadapi satu situasi ekoran daripada kedudukan ekonomi yang bersabit dengan krisis kewangan,” kata beliau selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pertahanan di sini, semalam.

 

Beliau yang juga Menteri Pertahanan, keputusan penangguhan tersebut dibuat pada 13 Oktober lalu oleh Majlis Ekonomi.

 

“Ini sebenarnya (diputuskan) dalam satu mesyuarat jawatankuasa ekonomi membincangkan kedudukan kewangan negara pada waktu ini dengan mengambil kira keperluan-keperluan yang ada hubung kait dengan peruntukan bajet.

 

“Beberapa kali kita tegaskan bahawa projek-projek yang nak kita laksanakan biarlah secara langsung memberi faedah kepada rakyat dan dengan itu kementerian-kementerian adalah dikehendaki untuk mengurangkan perbelanjaan dan menyatakan projek-projek yang boleh ditangguhkan,” katanya.

 

Abdullah berkata, pembelian helikopter baru bagi menggantikan Nuri akan tetap dilakukan memandangkan pesawat yang sedia ada sudah uzur dan terlibat dalam beberapa kemalangan yang meragut nyawa anggota tentera dan orang awam.

 

Ditanya jika timbul kritikan supaya Nuri perlu digantikan segera memandangkan ia tidak selamat untuk digunakan, Abdullah berkata, buat masa ini pihaknya akan memastikan Nuri diselenggara dengan sebaik mungkin.

 

Katanya, keputusan untuk membeli pesawat baru menggantikan Nuri sepatutnya dibuat tidak lewat daripada tahun 2011, namun ia akan dibuat lebih awal sekiranya keadaan ekonomi mengizinkan.

 

Ditanya sama ada kerajaan akan meneruskan pembelian helikopter daripada Eurocopter apabila tiba waktunya, Abdullah berkata, ia terpulang kepada pegawai yang mengendalikan pembelian tersebut untuk memutuskannya.

 

“Sama ada kita mahu atau tidak, itu keputusan kita tapi sama ada kita mahu pergi secara terperinci lagi, itu subjek lain.

 

“Ia terpulang kepada pegawai yang mengendalikan untuk memutuskan,” katanya.

 

Abdullah menegaskan, beliau percaya pembelian Eurocopter dilakukan secara telus melalui tender terbuka.

 

“Cadangan telah pun dikaji oleh Kementerian Pertahanan untuk mementukan helikopter mana yang hendak dibeli dan semua ini dibuat mengikut tender terbuka dan daripada tender inilah maka Euro helikopter itu dipilih kerana ia memenuhi keperluan-keperluan kita… spesifikasi yang telah ditetapkan itu nampaknya dipenuhi oleh Euro Helikopter,” katanya.

 

Abdullah menafikan dakwaan bahawa Eurocopter dibeli dengan harga RM2.3 bilion dan ia dibeli dengan harga yang lebih mahal berbanding helikopter yang sama dibeli oleh Brazil.

 

“Itu kerana helikopter tersebut (yang dibeli Brazil) tidak memenuhi tahap yang kita mahukan. Jika hanya untuk pengangkutan, harganya lebih murah,” katanya.

 

Abdullah berkata, pembelian Eurocopter dilihat begitu mahal kerana ia mempunyai beberapa fungsi termasuk bagi tujuan menyelamat, pertempuran dan pengangkutan.

 

Beliau berkata, mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk meneliti isu pembelian Eurocopter akan tetap diteruskan esok walaupun kerajaan telah memutuskan penangguhan pembelian helikopter terbabit.

 

“Yang itu telah diputuskan oleh Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu supaya PAC diberi peluang untuk menghalusi mengenai perkara berkaitan cadangan untuk membeli helikopter ini.

 

“Ini pun ada juga baiknya. Biarlah mereka tahu apakah prosedur yang telah kita gunakan… mengapakah begitu tinggi (harganya)… apa sebab-sebabnya,” katanya.

 

Kerajaan melalui mesyuarat Kabinet pada 18 Julai 2007 memutuskan untuk membuat perolehan bagi menggantikan pesawat Nuri berikutan rungutan beberapa Anggota Parlimen dan masyarakat umum berhubung helikopter jenis itu yang sering terlibat dalam nahas udara dan mengorbankan anggota tentera.

 

Pada 3 September lalu, Kementerian Pertahanan menerima keputusan dan persetujuan daripada Kementerian Kewangan untuk memilih tender Eurocopter, pesawat milik Eurocopter Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat European Aeronautic Defence and Space Co (EADs) dan kementerian itu mengeluarkan Surat Hasrat kepada Eurocopter pada 15 September 2008.

 

Bagaimanapun isu pembelian 12 Eurocopter EC-725 itu timbul semula sebaik ianya diumumkan Abdullah pada 26 September lalu.

 

Isu ini turut dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober lalu yang ingin mengetahui ketelusan dalam pembelian Eurocopter kerana didakwanya memberi keuntungan kepada pihak-pihak tertentu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s