Pilihan raya Presiden AS: Obama sedang mendahului

04/11/2008 11:43pm

WASHINGTON 4 Nov. – Rakyat Amerika Syarikat (AS) mula mengundi pada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) hari ini, dengan calon pilihan daripada Parti Demokrat, Barack Obama berada di ambang menjadi Presiden kulit hitam pertama AS.

Setakat ini, lebih 30 juta pengundi telah turun mengundi awal di 30 negeri dengan majoriti pengundi terbabit memberikan sokongan kepada Obama.

Menurut laman web seorang penyelidik universiti, kira-kira 28.9 juta pengundi yang kebanyakannya terpaksa beratur berjam-jam di pusat pengundian telahpun mengundi di 30 negeri.

Obama dan isteri Michele Obama sendiri mengundi di kawasannya di Chicago, Illinois, sementara calon Naib Presidennya Joe Biden mengundi di Wilmington, Delaware.

Sementara itu, lawannya daripada Parti Republikan, John McCain masih menaruh harapan untuk membuat kejutan, walaupun tinjauan sebelum ini menunjukkan beliau ketinggalan jauh di belakang.

Beliau perlu mengelakkan satu kekalahan besar yang boleh membawa kemenangan kepada Obama.

Pengundi juga mungkin mengubah senario politik di Washington dengan Parti Demokrat mensasarkan pertambahan bilangan kerusi di dalam Senat dalam jumlah yang lebih besar dan begitu juga di Dewan Perwakilan, berikutan tempoh pentadbiran Presiden George W. Bush selama lapan tahun yang penuh dengan pergolakan.

Kempen ke White House kali ini, yang disifatkan paling lama dan paling mahal dalam sejarah AS, berakhir dengan Obama berada jauh di depan berdasarkan tinjauan pendapat umum dan hanya memiliki kelebihan tipis di beberapa negeri ‘atas pagar’ yang bakal menentukan siapa pemenang.

Di tengah-tengah krisis kewangan paling buruk melanda AS sejak 1930-an dan dengan askar AS terjerat dalam konflik di Iraq dan Afghanistan, Obama dan McCain berikrar untuk memulihkan imej dan kedudukan negara kuasa besar dunia itu di mata dunia.

Kedua-dua calon memburu 270 undi daripada Badan Perwakilan Pemilih yang akan mengundi pada 15 Disember ini, jumlah undi yang diperlukan daripada keseluruhan 538 undi Badan Perwakilan Pemilih bagi menentukan mereka memenangi kerusi White House.

Baki lebih 100 juta pengundi lagi dijadual membanjiri pusat-pusat pengundian di negeri-negeri lain di seluruh AS berperingkat-peringkat.

Angka yang dipetik dari negeri-negeri berkenaan menunjukkan bilangan yang keluar mengundi kali ini adalah yang tertinggi dalam sejarah bagi beberapa negeri utama termasuk di Georgia, Iowa dan North Carolina.

Bilangan pengundi tersebut membayangkan rekod baru peratusan keluar mengundi dijangka dicatatkan bagi negara ini secara keseluruhannya berbanding pada pilihan raya Presiden AS empat tahun lalu, kata Profesor Madya di Universiti George Mason, Virginia, Michael McDonald.

“Saya menjangka selain peratusan lebih besar daripada keseluruhan undi pada pili han raya Presiden 2008 yang dibuat pada pengundian awal, peratusan yang keluar mengundi secara keseluruhannya juga di jangka meningkat,” kata McDonald di laman webnya.

Kira-kira 121 juta pengundi keluar mengundi pada pilihan raya Presiden AS pada 2004 atau kira-kira 50 peratus daripada penduduk yang layak mengundi berdasarkan kriteria umur 18 tahun ke atas.

Keputusan pertama peringkat negeri di jangka diketahui selepas pukul 7 malam ini (8 pagi esok waktu Malaysia).

“Kita tinggal sehari lagi sebelum mengubah Amerika Syarikat,” kata Obama di Florida sebelum memarakkan semangat penyokongnya di North Carolina dan Virginia, dua negeri yang biasanya menyokong Parti Re publikan.

– AFP

 

sumber :http://www.utusan.com.my

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s