Pelan Rafidah ditolak

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Exco Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim tetap dengan pendiriannya untuk bertanding jawatan Naib Ketua pergerakan itu dan menolak pelan peralihan kuasa yang dipersetujui pada 4 Ogos lalu.

Beliau juga mengakui sengaja ‘memboikot’ mesyuarat Exco itu semalam dan sebelum ini kerana tidak mahu mengadakan sebarang bentuk rundingan dengan kepimpinan pergerakan itu berhubung keputusannya untuk bertanding.

Bagi Kamilia, tidak ada sebab untuk beliau mengundur diri selepas mendapat cukup pencalonan apatah lagi pelan peralihan kuasa itu tidak terkandung dalam perlembagaan parti.

Menurutnya, beliau sudah cukup bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai orang nombor dua dalam parti dan tidak akan berganjak daripada keputusan itu.

‘‘Sekali lagi saya nyatakan, saya menolak pelan peralihan itu dan tidak mengiktirafnya kerana ia bukan menjadi amalan parti yang dipegang selama ini.

‘‘Saya juga menolak sebarang perbincangan untuk tujuan itu (peralihan kuasa). Mengapa perlu kita kosongkan jawatan ketua untuk tiga bulan sedangkan calon berkenaan sudah layak bertanding? Mengapa perlu kita ‘lompongkan’ jawatan itu?,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai keputusan mesyuarat Exco Pergerakan Wanita UMNO semalam yang mengekalkan pelan peralihan kuasa di antara ketua pergerakan itu, Tan Sri Rafidah Aziz dan Naib Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Jun 2009.

Mesyuarat yang dihadiri oleh 27 Exco itu juga membuat ketetapan bahawa jawatan Ketua dan Naib Ketua tidak akan dipertandingkan demi perpaduan dan pengukuhan sayap kanan UMNO itu.

Kamilia sebelum ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu dan berikrar akan memberi perkhidmatan terbaik jika dicalonkan.

Beliau yang mendapat 55 pencalonan berkata, visi dan misinya kini ialah memartabatkan hak wanita, agama, bangsa dan perpaduan kaum.

Ditanya mengenai tindakannya tidak menghadiri mesyuarat Exco pergerakan itu semalam, Ketua Wanita Bahagian Kuala Kangsar itu memberitahu, ia dilakukan kerana beliau menolak dan membantah pelan peralihan tersebut.

‘‘Saya juga tidak menghadiri mesyuarat Exco sebelum ini sebagai menyatakan rasa tidak bersetuju dengan pelan peralihan itu. Mesej saya juga sudah jelas dan berharap mereka memahaminya,’’ jelasnya.

Beliau turut menyokong tindakan Ibu Pejabat UMNO mengeluarkan surat tawaran bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO kepada Rafidah dan Shahrizat walaupun mesyuarat Exco pergerakan itu memutuskan tidak akan mempertandingkan jawatan tersebut.

Ditanya adakah beliau akan mendapat sokongan daripada kalangan ahli dan Exco pergerakan tersebut selepas menyatakan pendiriannya itu, Kamilia berkata:

‘‘Ia sudah pasti kerana sekiranya ada suara lantang yang bercakap, pasti akan ada sokongan.’’

Menurut Kamilia, beliau berhasrat memegang jawatan lebih tinggi dalam Wanita kerana mahu memberi input kepada pucuk pimpinan parti demi kepentingan ahli akar umbi.


http://www.utusan.com.my/

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s