Surat tawaran tanding Ketua Wanita tetap dikeluarkan

PUTRAJAYA 10 Nov. – Ibu Pejabat UMNO tetap akan mengeluarkan surat tawaran bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO kepada Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil walaupun mesyuarat Exco pergerakan itu hari ini memutuskan tidak mempertandingkan jawatan tersebut.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ini kerana berdasarkan pencalonan yang diterima daripada mesyuarat-mesyuarat Wanita bahagian, kedua-duanya berhak dan layak bersaing jawatan tertinggi sayap kanan itu.

”Kita tidak bergantung atau dipengaruhi keputusan mesyuarat Exco Wanita hari ini kerana baik Rafidah mahupun Shahrizat, kedua-duanya telah melepasi kuota 39 pencalonan bahagian untuk bertanding Ketua Wanita UMNO.

”Dalam tempoh seminggu ini, surat tawaran akan dikeluarkan kepada semua calon yang telah melepasi kuota kelayakan bertanding. Rafidah dan Shahrizat akan menjawab surat tawaran itu dan sama ada mereka menerima atau tidak, ia terserah kepada kedua-duanya kerana mengikut demokrasi, itu adalah hak mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau ditanya sama keputusan mesyuarat Exco Wanita UMNO hari ini secara automatik menyebabkan Ibu Pejabat parti tidak mengeluarkan surat tawaran bertanding kepada semua calon yang merebut pelbagai jawatan pada pemilihan parti pada Mac tahun depan.

Wanita UMNO yang mengadakan mesyuarat Exco hari ini mengekalkan pelan peralihan kuasa antara ketuanya, Rafidah kepada Naib Ketuanya, Shahrizat pada Jun tahun depan.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Rafidah itu juga memutuskan jawatan Ketua dan Naib Ketua tidak dipertandingkan demi menjaga perpaduan pergerakan Wanita dan UMNO keseluruhannya.

Shahrizat layak bertanding jawatan Ketua Wanita setelah memperoleh 73 daripada kuota 39 pencalonan yang melayakkannya berbuat demikian.

Bagi jawatan Naib Ketua Wanita pula, selain Shahrizat yang melepasi kuota 29 pencalonan, turut menyertai persaingan adalah exco pergerakan itu, Datuk Kamilia Ibrahim yang meraih 56 pencalonan.

Semalam, Shahrizat meminta Rafidah mempertimbangkan supaya pelan peralihan jawatan ketua dan naib ketua pergerakan itu diselaraskan dari Jun kepada Mac 2009 selari dengan tarikh pemilihan parti itu.

Menurutnya, beliau akan meminta Rafidah berbincang mengenai perkara itu setelah mengambil kira perkembangan semasa dalam UMNO.

Kolum Bisik-Bisik Awang Selamat Utusan Malaysia hari ini membangkitkan persoalan tentang makna peralihan kuasa pergerakan itu jika Shahrizat yang akan mengambil alih kepimpinan pada Jun terpaksa memangku sehingga tamat penggal.

Persoalan juga timbul bagaimana beliau yang berstatus memangku dapat memainkan peranan berkesan sebagai Ketua Wanita UMNO dan Pengerusi Wanita Barisan Nasional sedangkan ketua wanita parti komponen lain berjawatan ketua.

http://www.utusan.com.my

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s