Pendekatan baru Cicak-Man 2

ANTARA adegan yang ditonjolkan dalam filem Cicak-Man 2: Planet Hitam.


SAYA sememangnya tidak sabar untuk menunggu tayangan filem sekuel Cicak-Man yang hanya akan menjengah pawagam bermula 11 Disember ini.

Mahu mengatakan diri saya ini peminat filem Cicak-Man sepenuhnya, tidaklah juga.

Cuma, saya kagum dengan hasil kerja pengarahnya, Yusry Abdul Halim menerusi filem pertamanya dulu.

Memang tidak adil sekali untuk membandingkan filem Cicak-Man dengan filem adi hero keluaran Hollywood kerana hasilnya sememangnya cukup jauh berbeza.

Tapi, kita seharusnya berbangga kerana ada anak muda yang sanggup merobah senario industri perfileman tanah air dengan memberi pendekatan serta santapan baru khusus buat masyarakat tempatan untuk terus menghargai filem tempatan.

Maka dengan itu, tidak mustahil apabila filem Cicak-Man berjaya mencatatkan kunjungan penonton sebanyak 750,000 orang apabila ditayangkan pada tahun 2006.

Berbalik kepada filem sekuel Cicak-Man yang diberi judul Cicak-Man 2: Planet Hitam, dapat disimpulkan pendekatan yang diambil oleh Yusry kali ini sememangnya berbeza dengan filem pertama dahulu.

Jujurnya, filem kedua ini pada awalnya, bergerak dengan agak perlahan kerana tidak banyak aksi yang ditampilkan dalam filem pertama dahulu.

Namun begitu, momentum mula mendaki apabila babak pertembungan di antara watak Cicak-Man dan seterunya, Rrama yang begitu mengujakan.

Saat diajukan tentang persoalan jalan ceritanya yang agak perlahan di pertengahan cerita, Yusry memandangnya dari sudut yang cukup positif.

Ini kerana katanya, untuk filem kedua ini, dia selaku penulis skrip dan lakon layar bersama Meor Shariman mahu bereksperimentasi dengan jalan ceritanya berbanding dengan penonjolan aksi sebagaimana filem pertama dahulu.

“Ini sebenarnya satu cabaran baru buat saya kerana untuk filem pertama, kami akan melakukannya dengan mengikut gerak hati saya Kalau saya rasa, saya tidak boleh lakukan apa yang sudah ditetapkan, saya akan ubah cara lain dalam memenuhi kehendak.

“Tetapi Cicak-Man 2 ini kami terikat dengan skrip dan apa yang kami tonjolkan semuanya berdasarkan apa yang telah ditetapkan. Kalau tidak boleh lakukan apa yang mahu dilakukan, kami akan lakukannya sampai kami puas hati,” jelas Yusry seusai tayangan Cicak-Man 2 untuk media yang diadakan baru-baru ini.

Malah, dengan jujurnya Yusry menjelaskan, istilah puas hati tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya kerana dia sentiasa mahu memberikan yang terbaik demi kepuasan penonton.

“Cicak-Man 2 pada saya lebih baik dari segi jalan cerita dan ini merupakan salah satu perubahan yang saya lakukan dalam memantapkan lagi produk saya,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, hanya satu yang dipinta Yusry iaitu harapan agara penonton tidak akan sesekali membandingkan filemnya dengan produk luar kerana apa yang ditampilkan adalah mengikut acuan tempatan.

Filem sekuel tersebut masih lagi mengekalkan pelawak terkenal, Saiful Apek sebagai Cicak-Man dan Hairi di samping Aznil Nawawi sebagai Profesor Klon serta pengenalan watak-watak baru yang dilakonkan oleh Sharifah Amani dan Louisa Chong.

Selain itu juga, antara cabaran baru yang dihadapi oleh Yusry adalah penggunaan teknik imej penjanaan komputer (CGI) yang menjangkau lebih daripada 100 shot untuk watak digital yang sukar digambarkan menerusi teknik pengarahan biasa.

Sebelum ini, Yusry pernah memberitahu sekuel ketiga Cicak-Man hanya akan disambung seandainya filem kedua ini akan mendapat sambutan hebat daripada penonton.

Jelas penerbitnya, Norman Abdul Halim, apa yang diharapkannya adalah pengikut filem Cicak-Man akan datang menonton filem sekuel ini di pawagam memandangkan filem ini juga ditayangkan pada musim cuti sekolah.

Apatah lagi, Norman mensasarkan jumlah penonton seramai satu juta orang untuk filem kedua ini.

“Soal filem sambungan Cicak-Man ini sebenarnya memang ada dalam perancangan kami dan kami juga telah menetapkan sekuelnya hanya akan sampai filem ketiga sahaja.

“Mengenai kutipan filem untuk Cicak-Man 2 ini, saya berharap akan adanya peningkatan daripada apa yang kami capai menerusi filem pertama dahulu,” katanya penuh optimis.

Tambahnya, dia yakin dengan penerimaan penonton tempatan terhadap Cicak-Man 2 kerana maklum balas yang diterima setakat ini menerusi tayangan perdana di Festival Filem Antarabangsa Pusan di Korea baru-baru ini sungguh menggalakkan.

Cicak-Man 2 pastinya mampu menarik penonton ke pawagam apatah lagi dengan kemunculan watak antagonis, Rrama yang dijayakan dengan cemerlang dan berkesan oleh pelakon jelita Indonesia, Tamara Bleszynski.

Tamara yang sebelum ini begitu sinonim dengan watak wanita berhati lembut menerusi sinetron Hikmah ternyata memberikan sisi gelap dalam lakonannya sebagai Rrama.

Cicak-Man 2 yang menjalani penggambaran selama 35 hari di sekitar Lembah Kelang, Perak dan Pulau Pinang itu turut dibarisi dengan watak-watak kameo oleh artis terkenal tanah air antaranya Yusry, Mamat Khalid, Julia Ziegler, Linda Onn, Fahrin Ahmad, Edry Abdul Halim, Munir Phyne Ballerz, Aziz M.Osman, Nadia Mustafar, Ridzuan Hashim, Julie Dahlan dan Dee.

Selain itu, Cicak-Man 2: Planet Hitam juga mencatatkan sejarah tersendiri apabila akan ditayangkan di seluruh pawagam kelak menerusi 65 hingga 70 salinan.

Bukan itu sahaja, filem ini juga akan ditayangkan serentak di Singapura dan Brunei pada 11 Disember manakala Januari depan di Indonesia.


http://www.utusan.com.my/

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s