Sabah beralih sokongan

KOTA KINABALU 19 Nov. – Empat bahagian Wanita UMNO di Sabah yang sebelum ini mencalonkan Tan Sri Rafidah Aziz untuk jawatan ketua pergerakan itu pada persidangan perwakilan masing-masing baru-baru ini, kini mengalih sokongan kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Armani Mahiruddin berkata, keempat-empat bahagian tersebut ialah Keningau, Kimanis, Tuaran dan Semporna.

Menurutnya, ketua-ketua bahagian terlibat iaitu Amelia Anjun (Keningau), Maznah Ghani (Kimanis), Jamaliah Antaup (Tuaran) dan Manis Muka Mohd. Dara (Semporna) telah menyatakan komitmen mereka untuk menyokong Shahrizat.

“Sebelum ini, pada persidangan perwakilan bahagian Wanita di seluruh Sabah, sebanyak 14 daripada 25 bahagian mencalonkan Shahrizat sebagai Ketua Wanita yang secara jelas menggambarkan mereka tidak setuju dengan pelan peralihan jawatan pada Jun 2009.

“Hari ini, empat lagi bahagian Wanita yang sebelum ini mencalonkan Rafidah, secara terbuka menyokong Shahrizat bertanding jawatan Ketua Wanita,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rafidah memperoleh 116 pencalonan termasuk 11 dari Sabah untuk mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO pada pemilihan Mac depan.

Shahrizat yang dicalonkan oleh 102 bahagian untuk mengekalkan jawatan Naib Ketua Wanita, bagaimanapun turut mengumpul 73 pencalonan bagi jawatan nombor satu pergerakan itu.

Semalam, 10 daripada 13 Ketua Wanita UMNO bahagian di Pulau Pinang menolak pelan peralihan kuasa antara Rafidah dengan Shahrizat yang ditetapkan Jun tahun depan.

Mereka sebulat suara menolak kenyataan Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Jahara Hamid yang mendakwa semua ahli pergerakan itu mahu pertandingan bagi jawatan tertinggi dielakkan.

Dalam hal ini, Armani pula berkata, sokongan Wanita Sabah terhadap Shahrizat bukan bermaksud mereka ingin melihat pertandingan bagi merebut jawatan Ketua Wanita.

Sebaliknya kata beliau, ia sekadar melahirkan hasrat supaya proses peralihan dapat diselaraskan dengan pelan yang dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sokongan kepada Shahrizat adalah angin perubahan yang tidak boleh disekat lagi. Kita faham Rafidah juga mendapat sokongan kuat tetapi adalah lebih sesuai peralihan diawalkan pada Mac ini.

“Ia penting bagi mengukuhkan Pergerakan Wanita UMNO itu sendiri dalam menghadapi cabaran akan datang terutama Pilihan Raya Umum Ke-13,” katanya.

Armani yang juga Ketua Wanita UMNO Libaran berkata, pergerakan berkenaan juga menyokong penuh kenyataan Abdullah yang meminta supaya kemelut sayap kanan parti itu diselesaikan segera.


http://www.utusan.com.my/

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s