Dr. M mahu teliti senarai sebelum dedah

Orang ramai bersalaman dengan Dr. Mahathir Mohamad semasa hadir pada Persidangan Antarabangsa Pertama Bahasa dan Linguistik di Kuala Lumpur, semalam.
– Gambar HAYAT SUEET



KUALA LUMPUR 25 Nov. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau mahu memastikan dengan tepat senarai nama pemimpin UMNO yang terlibat dengan politik wang sebelum mendedahkannya.

Kata Dr. Mahathir, beliau akan mendedahkannya kepada umum jika Lembaga Disiplin UMNO tidak mengambil sebarang tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.

“Saya perlu memastikan dengan tepat bukti yang saya ada,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Program Bahasa Inggeris dan Asia: Persidangan Antarabangsa Pertama Bahasa dan Linguistik di sini hari ini.

Beliau berkata, Lembaga Disiplin UMNO diharap akan memberi maklum balas terhadap perkara itu kepadanya secepat mungkin.

Dr. Mahathir dalam laporan akhbar sebelum ini berkata, beliau menerima senarai nama pemimpin UMNO terutama calon pada pemilihan parti Mac 2009 yang terlibat dengan politik wang dan berhasrat mendedahkannya jika parti tidak mengambil sebarang tindakan.

Beliau juga mengakui bahawa pada zaman pentadbiran beliau sudah berlaku politik wang di kalangan ahli UMNO namun ia tidak seteruk seperti yang berlaku ketika ini.

Katanya, ia semakin jelas berlaku apabila calon-calon kini sedang berkempen bagi menghadapi pemilihan UMNO.

“Saya mengaku memang pada masa saya ada berlaku rasuah tetapi bukan dalam skala seperti sekarang,” katanya.

Sementara itu diminta mengulas mengenai fatwa mengharamkan yoga, Dr. Mahathir berkata, adalah malang sekiranya ada pihak yang cuba menjadikannya sebagai isu penghinaan agama lain.

“Apabila Islam mengharamkan yoga tidak bermakna agama itu menghina agama Hindu. Mana-mana pihak pun tidak sepatutnya menjadikan ini sebagai satu isu agama,” katanya.

Majlis Fatwa Kebangsaan pada Jumaat lalu mengeluarkan fatwa mengharamkan amalan yoga secara sistematik kerana dibimbangi akan menghakis akidah umat Islam jika pengamalnya meneruskan amalan itu ke peringkat lebih tinggi.

Fatwa itu menggariskan bahawa amalan senaman yoga iaitu membabitkan gerakan fizikal, bacaan mentera dan matlamat penyatuan diri dengan tuhan bertentangan dengan syariat Islam.

http://www.utusan.com.my/

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s