Bekas hakim, peguam besar sambut baik



KUALA LUMPUR 17 Dis. – Bekas peguam besar Sabah, Datuk Mohamed Bazain Idris berkata, Rang Undang -undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) perlu disambut baik kerana ia satu percubaan untuk melantik hakim-hakim secara lebih telus dan bertanggungjawab.

Kata beliau, kumpulan lebih besar orang ramai kini berpeluang mengambil bahagian dalam proses memilih individu yang layak menduduki kerusi hakim.

Mohamed Bazain yang kini Pengerusi Biro Pengaduan dalam Forum Komunikasi Multimedia dan Kandungan Multimedia Malaysia berkata, S5(1)(f) rang tersebut adalah sesuatu yang belum pernah wujud sebelum ini kerana tidak ada akta lain menyatakan proses perundingan dengan begitu banyak badan seperti Persatuan Peguam Sabah, Persatuan Peguam Bela Sarawak dan Peguam-Peguam Besar daripada setiap perkhidmatan undang-undang negeri dengan begitu jelas.

Rang undang-undang SPK, kata beliau, telah menerima pakai kehendak artikel yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung pelantikan kehakiman.

“Setiap pelantikan ke Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dan juga empat jawatan paling utama adalah ‘pelantikan’ yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Pada pendapat saya, Perlembagaan Persekutuan hanya mengandungi intisari pelantikan kehakiman dan tidak harus ada percubaan untuk menspekulasi tentang prospek kenaikan pangkat selepas pelantikan,” kata beliau.

Mohamed Bazain berkata, pelaksanaan SPK mengenai pelantikan kehakiman adalah jelas seperti dapat dilihat pada S1(3) Rang undang-undang SPK.

Artikel S1 (3) menyebut “Akta ini terpakai kepada pelantikan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi serta pesuruhjaya kehakiman dan termasuk pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak.”

Beliau berkata, pelantikan hakim-hakim tertakluk di bawah Perlembagaan Persekutuan. Misalnya, Artikel 122B adalah untuk pelantikan hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, dan Artikel 122AB bagi pelantikan pesuruhjaya kehakiman.

Mohamed Bazain berkata, Perdana Menteri, selaku ketua eksekutif, mempunyai peranan penting dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Perdana Menteri mesti memberikan nasihatnya berhubung pelantikan hakim-hakim kepada Yang di-Pertuan Agong, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Majlis berkenaan mesti memainkan peranan Perlembagaan dengan berkesan.

“Bukan dalam bidang kuasa kita untuk mengambil tahu sama ada Majlis Raja-raja telah menolak sebarang nama yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, tetapi kita mesti memberikan kepercayaan kepada Majlis Raja-raja,’’ katanya.

Beliau berkata, sebarang cadangan untuk menterbalikkan proses pelantikan hakim-hakim sebagaimana disebut oleh sesetengah pemerhati akan menjejaskan kedudukan Yang di-Pertuan Agong dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Rang undang-undang ini nampaknya tidak menjejaskan status perlembagaan Sabah dan Sarawak. Keperluan Perdana Menteri merundingi Hakim Besar Mahkamah Tinggi, Ketua-ketua Menteri Sabah and Sarawak, tidak tergugat,” ujarnya.

Sementara itu, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah turut menyambut baik langkah kerajaan menggubal Rang Undang-Undang SPK kerana ia akan melengkapkan Perlembagaan Persekutuan yang wujud dan menambah baik proses melantik hakim-hakim.

Beliau berkata, tidak terdapat prosedur atau proses jelas mengenai pelantikan hakim-hakim dalam Perlembagaan Persekutuan pada ketika ini.

“Saya memuji kerajaan kerana akhirnya memperkenalkan undang-undang bagi penubuhan suruhanjaya itu untuk memperakukan kepada Perdana Menteri mengenai pelantikan hakim-hakim mahkamah kanan,” kata Dzaiddin, Ketua Hakim Negara dari 20 Disember 2000 hingga 15 Mac 2002.

Bekas hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Syed Ahmad Idid berkata, aspek paling penting SPK adalah untuk memilih calon yang tepat menjadi hakim.

“Pemilihan hakim harus dilakukan secara holistik dengan kriteria penting tertentu perlu diambil kira,” kata beliau sambil menyebut sifat-sifat seperti kejujuran, kesaksamaan, kesihatan yang baik, pencapaian yang tinggi, bakat, pengetahuan dan kebolehan membuat keputusan.

“Mereka hendaklah juga mempunyai perasaan takut kepada Tuhan,” kata Syed Ahmad dan menegaskan kejayaan atau kegagalan SPK bergantung sepenuhnya kepada faktor kemanusiaan.

“Anda boleh mempunyai undang-undang terbaik tetapi jika tidak ada orang yang betul mentafsirkannya, maka undang-undang itu akan tumbang,” tambah Syed Ahmad.

– Bernama

http://www.utusan.com.my/

2 responses to “Bekas hakim, peguam besar sambut baik

  1. Pastikan anggota suruhanjaya tersebut benar-benar” bebas”,kerana di Malaysia ni
    susah benar nak tafsir istilah bebas kerana mentaliti kita,saya bayar gaji lu,jadi lu mesti
    dengar cakap gua.Siapa yang melantik dan beri gaji pasti unsur termakan budi tu endak
    boleh dihapus dalam otak rakyat malaysia ni…aku masuk jua ke?

  2. alhamdulillah Hakim turut bersetuju !! tahniah Pak Lah

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s