Harussani, Dr. Wahbah Tokoh Maal Hijrah

Harussani Zakaria dan isteri, Datin Seri Ainon Abdul Ghani berkongsi kegembiraan bersama anak-anak dan cucu-cucu mereka pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1430H di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.



PUTRAJAYA 29 Dis. – Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, 69, dan cendekiawan Islam dari Syria, Dr. Wahbah Az Zuhaily, 76, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1430H/2008M.

Anugerah disampaikan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dalam satu majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Kedua-duanya membawa pulang wang tunai berjumlah RM120,000 bersama medal dan sijil.

Majlis yang diserikan dengan kehadiran 2,500 orang terdiri daripada wakil sektor awam dan swasta itu turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Syeikh Abdul Aziz.

Wan Mohamad ketika mengumumkan nama penerima anugerah berkata, Harussani sentiasa mendahulukan al-Quran dan Hadis dalam segala tindakan dan perkataan untuk kesejagatan agama, bangsa dan negara.

”Perwatakan lemah lembut, sentiasa terukir senyuman di ulas bibirnya senang mengatakan yang hak dikatakan hak, yang salah dikatakan salah dan menjulang keagungan Islam di persada negara.

”Lebih 69 tahun sudah berlalu, suaranya masih bergema menyebut tentang Islam melalui ceramah-ceramah agama di masjid, institusi agama, pentas-pentas ilmu, dengan kekuatan hujah dan dalilnya,” kata beliau.

Merujuk kepada Dr. Wahbah pula, Wan Mohamad berkata, keterlibatan beliau amat besar dalam dunia Islam dan umat Islam.

Dr. Wahbah yang juga tenaga pakar dalam Majlis Persidangan Fiqh Antarabangsa (Majma Fiqh l-Islami), kata beliau, mempunyai kepakaran yang amat tinggi dalam penulisan ilmiah.

”Karya beliau menjadi rujukan umat Islam di dunia antaranya yang tersohor di Malaysia adalah Kitab Tafsir Al-Munir Fi Al-Aqidah Wa Al-Syariah Wa Al-Minhaj dan Kitab Fiqh Perundangan Islam.

”Wawasan beliau sangatlah tinggi, mahu melihat ajaran al- Quran dan Sunnah terus bertebar di muka bumi. Kerana itu, beliau menginfaqkan sepenuhnya diri beliau untuk kemajuan Islam,” katanya.

Pada sidang akhbar selepas majlis itu, Harussani menyifatkan anugerah yang diterimanya bagaikan satu semangat untuk beliau terus bersuara lantang dalam mempertahankan kesucian dan kebenaran agama Islam.

Beliau berkata, ini kerana ia adalah sebahagian daripada tugas yang diamanahkan oleh kerajaan dan agama.

”Saya akan terus menyatakan apa yang benar tanpa mengira siapa di hadapan saya kerana ia adalah hukum yang ditetapkan oleh Allah dan agama Islam sendiri,” katanya.

Beliau menambah, anugerah itu juga memberikannya kekuatan yang baru untuk terus memberi sumbangan lebih berkesan kepada pembangunan umat Islam dan negara ini.

”Saya tidak sangka menerima anugerah ini kerana selama ini, saya menganggap apa jua pandangan dan cadangan yang saya utarakan tidak begitu diiktiraf.

”Tetapi dengan adanya anugerah ini, saya akan jadi lebih bersemangat,” katanya.

Sementara itu, Dr. Wahbah menganggap anugerah yang diterimanya hari ini sebagai satu bentuk sumbangan kerajaan dan masyarakat Malaysia dalam pembangunan generasi muda di negaranya.

Menurutnya, sumbangan sedemikian amat penting dalam memastikan pembangunan generasi muda Islam tidak terbantut berikutan masalah kewangan.

”Saya tidak melihat wang tunai itu (RM120,000) pada jumlahnya tetapi ia adalah nilai yang sangat berharga hasil sumbangan masyarakat dan kerajaan negara ini.

”Sehubungan itu, saya berharap ia diikuti oleh negara Islam yang lain,” katanya.

http://www.utusan.com.my/

3 responses to “Harussani, Dr. Wahbah Tokoh Maal Hijrah

  1. Tuan empunya blog.

    Memandangkan saudara gemar sungguh memaparkan suapan rss di blog, saya cadangkan supayaa saudara menambah satu lagi suapan rss

    http://feeds.feedburner.com/beras-terpilih

  2. penulis_cyber

    tq bro… blog akan dimasukkan dalam dalam list..minta promosi blog saya juga di blog saudara..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s