“Saya tiada niat bunuh Altantuya” – Azilah

 

SHAH ALAM: Tertuduh pertama kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, Cif Inspektor Azilah Hadri, hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak mempunyai niat untuk membunuh dan melenyapkan wanita Mongolia itu.

 

Azilah, 32, berkata dia dan tertuduh kedua Sirul Azhar Umar mengunjungi Hotel Malaya, tempat penginapan Altantuya, hanya bertujuan untuk menasihati wanita itu supaya tidak terus menganggu Abdul Razak Abdullah Baginda.

 

Mereka pergi ke Hotel Malaya pada 18 Oktober 2006 (sehari sebelum kejadian pembunuhan) hanya bertujuan untuk menasihati Altantuya secara lembut supaya tidak mengugut Abdul Razak dan tidak membuat kecoh di rumah penganalisis politik itu, katanya.

 

Azilah yang memberikan keterangan membela diri tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah bahawa dia dan Sirul Azhar hanya menunggu masa dan tempat yang sesuai untuk menjalankan misi membunuh wanita itu.

 

Azilah dan Sirul Azhar,37, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) polis, diperintah membela diri terhadap pertuduhan membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di sini antara 10 malam 19 Oktober 2006 dan 1 pagi keesokan harinya.

 

Abdul Razak, 48, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan itu oleh mahkamah yang sama pada 31 Oktober tahun lepas tanpa dipanggil membela diri.

 

Kepada soalan Tun Abdul Majid adakah dia menerima upah atas perkhidmatan nasihat tersebut, Azilah berkata: “Tiada”

 

Tun Abdul Majid: “Bagaimana dengan perbelanjaan minyak kereta untuk meronda? Kamu guna perbelanjaan sendiri?”

 

Azilah: “Takkan itupun nak berkira?”

 

Tun Abdul Majid: “Jadi tiada upah?”

 

Azilah: “Tiada.”

 

Tun Abdul Majid: “Jadi itu macam amal jariah sahajalah? Waktu itu bulan puasa kan?”Kenyataan Tun Abdul Majid itu membuatkan semua orang yang berada di dalam mahkamah tertawa.

 

Azilah turut menafikan dia pernah memberitahu Abdul Razak bahawa dia boleh menyelesaikan masalah ugutan itu kerana pernah membunuh lebih daripada enam orang sebelum ini.

 

Azilah mengakui bahawa dia dan Sirul Azhar telah berada di Hotel Malaya pada sebelah petang 18 Oktober 2006 (sepertimana rakaman cctv di Hotel Malaya) dan berlegar-legar di hadapan bilik 512 (bilik Altantuya) tetapi dia tidak mengetuk pintu kerana beranggapan akan menganggu privasi orang lain.

 

“Saya tidak mahu menganggu privasi orang kerana jika saya ketuk tapi tersilap orang, orang marah kita balik, kita kena hormat orang, lagipun bukan masalah kita, kita tolong sahaja,” katanya.

 

Kepada soalan Tun Abul Majid mengapa dia tidak menelefon sahaja Altantuya (untuk beri nasihat), Azilah berkata:”Saya tak terfikir pulak.”

 

Kenyataan Azilah itu ditempelak Tun Abdul Majid dengan berkata: “Kamu dengan “misi” hendak menasihati, tak nak ganggu privasi dan hormat orang, boleh kamu tak terfikir hendak telefon dulu?.”

 

Azilah hanya menjawab: “Tidak terlintas pulak.”

 

Terdahulu Azilah memberitahu dia langsung tidak tahu siapa nama perempuan dan lelaki Cina yang dimaksudkan oleh Abdul Razak dan dia bertindak mencari wanita itu hanya berdasarkan alamat hotel yang diberikan.

 

Tun Abdul Majid: “Jika kamu tidak tahu nama mereka bagaimana kamu hendak menasihati mereka?”

 

Azilah: “Boleh. Kita boleh panggil dia “hello brother” bagi lelaki, “hello sister” bagi perempuan.”

 

Mengenai hubungannya dengan Sirul Azhar, Azilah berkata dia mula mengenali tertuduh kedua itu ketika bersama-sama berkhidmat dalam UTK empat tahun lalu dan dia sememangnya mempercayai Sirul Azhar untuk membantu dalam menyelesaikan masalah Abdul Razak.

 

Hari ini Azilah sekali lagi menegaskan bahawa tindakkannya membantu Abdul Razak adalah atas arahan DSP Musa Safri.

 

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin disambung Isnin. BERNAMA

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s