Perlu berani berubah – Abdullah ~ Utusan Malaysia

 

n ABDULLAH Ahmad Badawi dan Najib Tun Razak berpelukan selepas Presiden UMNO itu selesai menyampaikan ucapan dasarnya yang terakhir pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-59 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR 26 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta ahli- ahli parti itu menanam keazaman ‘untuk berubah’ sambil disusuli dengan langkah berani melakukan perubahan dalam diri sendiri jika mahu melihat UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus berkuasa pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam ucapan dasarnya yang terakhir sebagai Presiden UMNO, beliau menegaskan, betapa malangnya jika ramai ahli parti itu masih gagal memahami bahawa UMNO itu adalah ahli-ahlinya sendiri dan selagi mereka tidak berubah, UMNO tidak mungkin dapat berubah.

‘‘Di kalangan kita juga, malah di kalangan yang duduk di atas pentas ini, turut menyuarakan bahawa UMNO wajib melakukan perubahan.

‘‘Apa yang saya ingin dengar adalah suara yang menyatakan ‘aku akan berubah’ lalu disusuli dengan langkah berani melakukan perubahan itu dalam diri sendiri.

‘‘Sedarilah, di luar Dewan Merdeka ini, ramai yang berpandangan bahawa jika UMNO, jika BN tidak berubah, maka pilihan raya ke-12 8 Mac 2008 merupakan kemenangan terakhir kepada BN menubuhkan kerajaan.

‘‘Selepas ini, rakyat di luar dewan ini, tidak akan mengundi kita lagi,’’ tegasnya di Perhimpunan Agung UMNO 2008, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Dalam ucapan kira-kira sejam itu Presiden UMNO turut meminta UMNO melakukan perubahan berani selaras dengan transformasi masyarakat yang begitu dinamik dan perkembangan global yang begitu radikal jika tidak mahu menyaksikan hayat parti itu berakhir.

Menurut Abdullah, UMNO kini berada di persimpangan jalan dan laluan yang dipilih nanti akan menentukan sama ada UMNO kekal relevan sepanjang masa atau akan hanya menjadi satu sejarah masa lalu.

Beliau berkata, ada juga yang masih berpendirian bahawa UMNO tidak perlu melakukan perubahan dan percaya UMNO akan kembali mencapai kemenangan jika kita kembali kepada cara lama.

Orde lama itu, kata beliau, ialah dengan menyekat dan menghalang kebebasan warganya daripada menyuarakan kritikan.

Mereka, tegas Abdullah, berpandangan UMNO boleh terus berkuasa dan kekal kuat dengan kaedah menjaga kepentingan beberapa individu tertentu dan memenuhi tuntutan-tuntutan kumpulan tertentu.

‘‘Masih terdapat di kalangan kita yang lebih tertarik dengan cerita-cerita yang menyeronokkan hingga kita menjadi leka, lena dalam ulitan mimpi bahagia,’’ katanya.

Abdullah bimbang, jika laluan lama dipilih ia bukan sahaja membawa UMNO ke belakang malah akan mempercepatkan berakhirnya talian hayat UMNO.

Sehubungan itu, kata beliau, untuk terus relevan, UMNO perlu berusaha mencantumkan kekuatan lama yang telah hilang dengan elemen baru yang perlu diterokai.

Tegasnya, kekuatan lama yang telah hilang adalah semangat asal dan komitmen asal kepada perjuangan bangsa dan perjuangan parti.

Justeru, katanya, setiap ahli UMNO perlu menghidupkan kembali semangat berkorban, semangat dedikasi, semangat kesederhanaan, semangat berkhidmat, semangat kemanusiaan dan mempamerkan integriti yang tinggi lagi dihormati.

‘‘Gugurkanlah sifat angkuh yang merasakan diri kita sahaja yang betul, yang merasakan diri kita sahaja yang pandai. Jauhilah amalan rasuah, imbangkan perhatian di kalangan warga keseluruhannya baik yang Melayu dan bukan Melayu demikian juga kepada ahli-ahli parti baik yang menyokong kita atau saingan kita,’’ tegas beliau.

Perdana Menteri turut meminta seluruh ahli UMNO mengambil iktibar daripada loceng amaran yang berdering kuat, yang menuntut setiap ahlinya bertanya ‘apa yang tersilap’ atau ‘kenapa dan bagaimana kita tersilap.

‘‘Jawapan spontan saya terhadap persoalan tersebut ialah ‘kita telah gagal mengurus kejayaan kita sendiri’.

‘‘Bahawa kita terlalu mabuk dilambung ombak kejayaan. Bahawa kita menjadi leka diulit gurindam kejayaan. Bahawa kita merasakan diri kita sudah menjadi terlalu kuat. Bahawa kita lebih mementingkan kedudukan kita di dalam UMNO daripada memikirkan kedudukan UMNO di kalangan warga dan di dalam negara,’’ tegasnya.

Keadaan sedemikian, kata Abdullah menuntut ahli-ahli UMNO bermuhasabah, melihat ke dalam diri, meninjau kembali sumber kekuatan selama ini selain memeriksa kelemahan dan kesilapan semenjak akhir-akhir ini.

http://www.utusan.com.my

2 responses to “Perlu berani berubah – Abdullah ~ Utusan Malaysia

  1. puji puja rasulullah

    umno(melayu) mesti berani berubah dalam mengangkat dan menaikkan pemimpin yang bercirikan kepimpinan mesti mepunyai sahsiah yang kuat pegangan agama yang mantap akidah yang tulus disamping ilmu yang luas serta menjadikan sifat benar,amanah,bijaksana dan menyampaikan kebenaran..melayu dalam parti politik lain juga terutama pas dan pkr mesti membantu kepimpinan yg telah di angkat dengan cara dan teguran yang bijaksana bukan dengan cara jatuh menjatuh yang merugikan mesti bijak berpolitik..!!!melainkan jika ada kepentingan politik yang sempit..fahaman agama yang tidak mementingkan kemajuan dalam melaksanakan perintah allah…kita tidak menolak hudud kita tidak menolak quran dan sunnah buat apa ceramah2 tapi balik tidur..esuknya berdebat dan berkelahi sesama sendiri hanya kerana politik..??islam sudah sempurna dan kesempurnaan nya bukan hanya dengan 2,3 orang tok guru yang disanjung oleh kebanyakan orang bermazhab pas dalam politik..ramai lagi ulama ulama boleh dijadikan rujukan dan kita wajib iktiraf keilmuan mereka selagi mereka berpegang kepada ahlisunnah wal jamaah..kita sokong kepimpinan pak lah bukan kerana umno tetapi kerana kita tidak mahu lagi politik jatuh menjatuh dan berpecah belah kita sokong kepimpinan najib bukan kerana dia bersih dari segalagalanya tetapi kita harap pemimpin pikirlah apakah kesudahan jatuh menjatuh kan kepimpinan .. bayangkan jika nik aziz juga jadi pm dan kita tak akan aman dari politik jatuh menjatuh yang akhirnya kita umat islam melayu akan hilang kepimpinan…berpolitik lah secara sederhana dan bijak sana..sekalung tahniah kepada dato sri najib semoga allah memberikan taufik dan hidayah..

  2. rasuah didalam umno macam dah tak boleh dikawal….

    kita lihat sahaja pemilihan umno baru2 ini dimana kj yang sangat dibenci oleh rakyat boleh menang ketua pemuda…..kalau kj menang begitu jugalah parahnya rasuah didalam umno…..bila duit seringgit 2 menjadi begitu penting …..nasib umno akan datang menjadi mangsa…..

    saya bukan ahli umno…..tetapi saya orang melayu yang sayang kepada umno….sekiranya umno pupus seperti orang melayu juga begitu….sekiranya pkr menang selepas ini saya rasa nasib orang melayu di malaysia tak ubah seperti melayu di singapura….hilang kuasanya dan menumpang dinegara sendiri….

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s