MCA, MIC nafi sambil lewa ~ Utusan Malaysia

 

 

 

KUALA LUMPUR 8 April – MCA dan MIC menafikan dakwaan bahawa parti itu tidak bersungguh-sungguh membantu jentera Barisan Nasional (BN) memenangi hati pengundi Cina serta India semasa Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau semalam.

Pilihan raya kecil tersebut menyaksikan kedua-dua calon BN tewas kepada calon Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong menegaskan, penolakan pengundi Cina di kedua-dua kawasan itu disebabkan isu setempat yang telah berakar umbi dan gagal diselesaikan dengan baik.

“Kita telah bermati-matian membantu jentera BN di Bukit Gantang dan Bukit Selambau walaupun kedua-duanya bukan kawasan tradisi MCA.

“Punca kekalahan ini tidak wajar diletakkan atas bahu MCA. Sepatutnya ia menjadi pengajaran kepada kerajaan supaya melakukan perubahan seperti diingini masyarakat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ka Siong mengulas dakwaan bahawa parti komponen BN terutama MCA dan MIC sambil lewa semasa berkempen sedangkan pada masa sama pembangkang menerapkan sentimen kebencian kepada kerajaan BN di kalangan pengundi Cina dan India.

Cakap-cakap tentang dakwaan itu tersebar sepanjang tempoh berkempen tetapi kini semakin hangat di Internet selepas calon pembangkang memperoleh peningkatan sokongan masyarakat Cina dan India.

Di Bukit Gantang, Ismail Saffian tewas kepada calon Pas, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dengan majoriti 2,789 undi.

Nizar memperoleh peningkatan 1,845 undi dengan 1,000 daripadanya disumbangkan pengundi DUN Kuala Sepetang yang majoritinya penduduk Cina.

Senario sama berlaku di Bukit Selambau walaupun jumlah anggota parti komponen BN dalam DUN tersebut ialah 15,751 orang dengan 7,328 ahli UMNO, 2,043 ahli MCA dan 6,380 ahli MIC.

Sebaliknya, calon BN, Datuk S. Ganesan hanya mampu memperoleh 10,229 undi sementara calon PKR, S. Manikumar mendapat 12,632 undi.

Menurut Ka Siong, kerajaan seharusnya menyelesaikan segera isu nelayan Cina selain masalah penempatan semula masyarakat Cina di Parlimen Bukit Gantang.

“Macam-mana kita hendak menghalang isu ini sedangkan ia telah lama timbul. Kerajaan pula sekadar tabur janji, tiada usaha konkrit.

“Akibatnya ia jadi senjata pembangkang. Saya melihat isu pembangunan yang menyebabkan orang Cina tawar hati dengan kerajaan,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang sama. Beliau berkata, semua parti komponen BN turun padang serta berusaha siang dan malam bagi memberi penjelasan kepada pengundi.

Bagaimanapun, beliau mengakui dakwaan itu kini tersebar dalam Internet dan laman blog.

“MIC belum membuat sebarang analisis mengenai kekalahan calon MIC di Bukit Selambau tetapi dakwaan itu tidak benar dan tidak berasas.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan ini. Semua orang boleh melihat parti-parti komponen BN membantu sepanjang kempen,” katanya.

 

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_03.htm

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s