JAIS dakwa Dr. Abdullah dakwah tanpa tauliah

 

PETALING JAYA 12 Nov. – Baru-baru ini masyarakat dikejutkan dengan berita penangkapan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang mengajar agama tanpa tauliah.

Namun ramai tidak mengetahui seorang ulama yang menghadapi tuduhan sedemikian sedang dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah di sini sejak tiga tahun lalu.

Meskipun telah memakan masa sekian lama, kes terhadap Dr. Abdullah Yasin, 63, masih di peringkat mengambil keterangan saksi pendakwaan di hadapan Hakim Syarie, Ghazali Ahmad hari ini.

Mengikut pertuduhan, Abdullah dibicarakan atas tuduhan mengajar tafsir al-Quran, Surah Al-Baqarah, Ayat 14 hingga 20 yang berhubung agama Islam tanpa tauliah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pusat Rukun Tetangga, Seksyen 14/26, di sini kira-kira pukul 4.30 petang, 24 April 2006.

Pada prosiding hari ini, seorang penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memberitahu, seseorang individu tidak boleh mengajar kepada sesiapapun walaupun cuma sebaris ayat kalimah syahadah sekiranya tidak mendapat tauliah.

Ahmad Tarnuzi Nokin, 32, selaku saksi pendakwaan keempat berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzzaman yang mewakili Abdullah.

Saksi itu selepas diminta membacakan tafsiran ayat 14 hingga 20 surah berkaitan, bersetuju dengan Kamar Ainiah bahawa ayat tersebut menjelaskan sifat-sifat golongan munafik.

Ketika ditanya mengenai adakah salah bagi seorang yang berilmu agama memberikan peringatan kepada orang ramai mengenai sifat-sifat munafik, saksi tersebut menjawab, ia salah dilakukan di Selangor sekiranya tanpa tauliah.

Ketika ditanya pula sama ada terdapat syarat di dalam agama Islam yang menyatakan demikian, dia menjawab tiada.

Saksi itu juga menyatakan, dia tidak tahu sama ada setiap individu yang memohon tauliah akan memperolehinya kerana ia di luar bidang kuasanya.

Ahmad Tarnuzi turut menyatakan, dia tidak dapat mengingati perkataan atau percakapan ulama berkenaan semasa ditangkap tetapi yakin Abdullah ada menulis sesuatu di papan putih dalam bahasa Arab.

Sementara itu, pegawai pendakwa dari JAIS, Muhamad Nazri Basrawi turut menyoal balas Ahmad Tarnuzi mengenai keperluan tauliah bagi seseorang pendakwah mengikut 118(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) No.1, Tahun 2003.

Ahmad Tarnuzi menjelaskan, ia bertujuan mengelakkan penyebaran ajaran yang sesat, terpesong atau fahaman yang salah di kalangan masyarakat Islam di negara ini.

Bagaimanapun, menurutnya, terdapat beberapa individu yang dikecualikan daripada memiliki tauliah untuk mengajar.

Sementara itu, Abdullah ketika ditemui media di luar mahkamah menyatakan dia sudah lima kali memohon tauliah dari JAIS namun seringkali mendapat jawapan yang mendukacitakan serta tidak dijelaskan alasan permohonannya ditolak.

Beliau yang berasal dari Indonesia memiliki ijazah sarjana dalam bidang Tarbiyah Pendidikan oleh universiti di Indonesia, ijazah sarjana muda dalam bidang Dakwah dan Usuluddin dari Universiti Islam Madinah dan Ibn Saud Islamic Universiti of Riyadh.

Pendakwaan terhadap Abdullah dibuat mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) No. 1, Tahun 2003 yang memperuntukan denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Perbicaraan bersambung 28 Januari tahun depan.

Utusan Malaysia

3 responses to “JAIS dakwa Dr. Abdullah dakwah tanpa tauliah

  1. Pokok persoalan di sini ialah Enakment Islam Selangor itu sendiri adalah berdasarkan tafsiran undang-undang Barat. Mana mungkin ia boleh digunakan untuk mengadili persoalan tentang Islam. Berzina denda RM 5000 atau 2 tahun penjara contohnya…….adkah ini undang-undang Islam?

  2. Tentu KPI Jabatan Agama Selagor Ok apa………harap dakwa juga lain2 penyelewengan Agama, jgn dok kerja intip pendakwah aja…..kesian pak lebai2 dan pak aji kat sana kena tutup mulut aja……….

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s