Menantu Nik Aziz diarah letak jawatan – Utusan Malaysia

 

  • Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat arahkan menantunya, Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman letak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
  •  

     

  • Tindakan diambil selepas Pas Pusat diketuai Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menasihatkan Nik Aziz supaya mengarahkan Ariffahmi meletak jawatan bagi menjaga nama baik parti.
  •  

     

  • Nik Aziz menafikan arahan dibuat ekoran siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap menantunya tetapi disebabkan fitnah yang disebarkan.
  •  

     

  • Ariffahmi akur tetapi bertegas ia angkara fitnah terutama oleh penulis blog.
  •  

     

  • Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub bersyukur Nik Aziz menerima nasihat.
  •  

     

  • Bekas Pengarah Perhubungan Korporat PMBK, Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang juga penulis blog Kickdefella berharap peletakan jawatan Ariffahmi akan mengembalikan hak rakyat.
  •  

    KOTA BHARU 23 Nov. – Kemelut dalaman Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) sampai ke penghujungnya apabila Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengarahkan menantunya, Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) perbadanan tersebut.

    Ia dikatakan bagi membendung fitnah yang disebarkan oleh pihak tertentu terhadap kepimpinan Pas daripada terus merebak.

    Arahan tersebut dikeluarkan Nik Abdul Aziz selepas mengadakan pertemuan dengan rombongan kepimpinan tertinggi parti itu yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr. Haron Din; Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Bendahari, Dr. Hatta Ramli di kediaman rasminya, JKR 10 di sini, hari ini.

    Abdul Ariffahmi yang turut hadir pada sidang akhbar selepas pertemuan tersebut mengesahkan akan melepaskan jawatannya selepas semua urusan berkaitan cuti tahunannya selesai.

    Sementara itu, Nik Abdul Aziz berkata, pada pertemuan tersebut beliau telah dinasihatkan oleh Pas Pusat supaya mengarahkan Abdul Ariffahmi meletakkan jawatan bagi menjaga nama baik kepimpinan Islam khasnya parti itu sendiri.

    Bagaimanapun beliau menafikan ia dikeluarkan kerana siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap menantunya itu sebaliknya menegaskan ia disebabkan fitnah yang disebarkan.

    ‘‘Semuanya (rombongan tersebut) menasihati saya supaya menjaga nama baik pimpinan Islam khasnya Pas sendiri untuk menasihat menantu saya supaya mengundurkan diri dari PKMB.

    ‘‘Saya lantik dia (Abdul Ariffahmi) dulu dalam mesyuarat penuh yang turut dihadiri Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri dan beliau tidak memberikan sebarang komen.

    ‘‘Tetapi oleh kerana fitnah melalui macam-macam surat layang dan sebagainya, maka saya dinasihatkan supaya elak diri dari fitnah ini dari terus berkembang.

    ‘‘Siasatan SPRM itu siasatlah… itu kerja dia tetapi fitnah itu yang jadi (punca suruh letak jawatan). Nabi kata fitnah ini benda tidur, siapa-siapa yang gerak dia akan dilaknat Allah. Itu fitnah punya fasal tetapi (letak jawatan) ini hendak jaga kepimpinan Parti Islam Semalaysia.,” katanya.

    Masalah dalaman PMBK bermula apabila enam pegawai SPRM dilaporkan menyerbu pejabat perbadanan tersebut yang terletak di Jalan Kuala Krai di sini pada 9 November lalu.

    Pada masa yang sama, Nik Abdul Aziz mengakui menerima tajaan untuk menunaikan haji bernilai RM65,000 yang turut disertai ahli keluarganya termasuk Abdul Ariffahmi.

    Beberapa hari selepas itu, masalah dalaman PMBK menjadi bertambah parah apabila menantu Nik Abdul Aziz itu menamatkan kontrak Pengarah Perhubungan Korporat PMBK, Syed Azidi Syed Abdul Aziz minggu lalu.

    Syed Azidi yang lebih dikenali dengan laman blognya Kickdefella, pula dilihat antara orang kanan Exco Kanan Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.

    Malah kelmarin, timbul spekulasi Husam akan meletakkan kesemua jawatannya dalam parti dan kerajaan negeri berpunca daripada kemelut dalaman PMBK kerana pihak tertentu mendakwa beliau adalah dalang di sebalik masalah tersebut.

    Terdahulu, sebuah portal dan akhbar melaporkan Husam mendakwa wujud konspirasi untuk menjatuhkannya dengan melaga-lagakan beliau dengan mentornya, Nik Abdul Aziz.

    Bagaimanapun pada pertemuan selama sejam itu, isu spekulasi peletakan jawatan Husam tidak dibincangkan kerana mereka beranggapan ia tidak pernah wujud.

    Sementara itu, Nik Abdul Aziz berkata, pada masa sekarang beliau masih belum memikirkan untuk melakukan rombakan dalam PMBK.

    ‘‘Itu masalah kedua. Masalah sekarang ini menantu saya itu terlalu banyak kecaman dilemparkan kepadanya oleh orang yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

    Ketika ditanya sama ada beliau tidak mendapat sokongan daripada kepimpinan Pas Kelantan kerana tidak ada sokongan terbuka dibuat, katanya :

    ‘‘Itu tidak payah. Saya tidak perlu kenyataan (sokongan) terbuka begitu tetapi oleh kerana fitnah yang dibuat oleh blogger, semua orang boleh baca dan nama baik kepimpinan Islam akan menjadi cacat.”

     

    Sumber : Utusan Malaysia

    Tinggalkan Jawapan

    Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

    WordPress.com Logo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s