Siasat tanpa had waktu – Utusan Malaysia

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 17 Dis. – Hak untuk menyoal saksi tanpa batasan masa dikembalikan semula kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan badan tersebut menjalankan siasatan melepasi waktu pejabat.

Panel tiga hakim mahkamah tersebut yang diketuai oleh Hakim Datuk Hasan Lah sebulat suara memutuskan, waktu siasatan tidak boleh dibataskan atau terhad dalam tempoh masa bekerja yang biasa.

Justeru itu, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Kuala Lumpur pada 19 November lalu yang memutuskan bahawa SPRM hanya boleh menyoal siasat dalam waktu pejabat antara 8.30 pagi hingga 5.30 petang, diketepikan oleh Mahkamah Rayuan.

Hakim Hasan yang bersidang bersama Hakim Datuk Ahmad Maarop dan Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad turut memutuskan, Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Tan Boon Wah selaku responden dalam rayuan tersebut membayar RM10,000 sebagai kos kepada SPRM.

Suruhanjaya berkenaan melalui Ketua Suruhanjaya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dan Penolong Penguasa SPRM Selangor, Mohammad Hassan Zulkifli dan SPRM selaku perayu mengemukakan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mohamad Ariff Md. Yusof.

Pada tarikh tersebut hakim itu memutuskan, SPRM tidak boleh lagi menyoal siasat saksi hingga ke malam kerana Seksyen 30(3)(a) Akta SPRM 2009 tidak memberi kuasa untuk berbuat demikian.

Mahkamah Tinggi itu menyatakan, frasa ‘‘hari ke hari’’ dalam seksyen berkenaan bukan bermaksud 24 jam, tetapi merujuk kepada waktu bekerja biasa.

Hakim Hasan sebaliknya menegaskan bahawa mahkamah bersetuju dengan hujah Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh tentang pembahagian Seksyen 30 (1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Menurut Hakim Hasan, Seksyen 30(3)(a) akta tersebut jika diteliti tiada menetapkan atau memperuntukkan tempoh masa untuk SPRM menjalankan soal siasat.

Dalam akta tersebut, ujar hakim itu, tiada langsung menyebut bahawa SPRM hendaklah melakukan siasatan terhad dalam waktu pejabat 8.30 pagi hingga 5.30 petang setiap hari dan bukan selepas tempoh yang ditetapkan.

Menyentuh lanjut Seksyen 30(3)(a) akta tersebut, Hakim Hasan menyatakan bahawa ia terbahagi kepada dua bahagian. Iaitu dalam bahagian pertama membawa interpretasi bahawa tidak ada tempoh masa ditetapkan untuk merekodkan kenyataan saksi.

Bahagian kedua, frasa ‘hari ke hari’ pula adalah menunjukkan bahawa siasatan perlu diteruskan pada setiap masa (hari ke hari) sehinggalah selesai.

Terdahulu, panel hakim mendengar hujah Amarjeet yang menjelaskan bahawa Mahkamah Tinggi telah terkhilaf ketika membuat keputusan.

‘‘SPRM adalah satu badan istimewa yang ditubuhkan bagi menangani gejala rasuah menerusi pendekatan siasatan yang efektif.

‘‘Memandangkan kegiatan rasuah tidak mengenal waktu maka tempoh masa siasatan tidak boleh dihadkan, hanya dalam waktu pejabat. Pegawai SPRM sentiasa berada dalam tugas memandangkan perbuatan rasuah boleh dilakukan pada bila-bila masa,’’ kata Amarjeet.

Sehubungan itu tambah beliau, skop menjalankan siasatan tidak boleh disempitkan kerana interpretasi tersebut tidak betul.

Peguam Karpal Singh yang mewakili Boon Wah selaku responden memohon supaya mahkamah itu menolak rayuan yang dikemukakan oleh SPRM.

Menurut Karpal, keselesaan saksi mesti diutamakan kerana hasil siasatan yang lengkap boleh menjamin kepada satu sabitan yang tidak goyah.

Sejurus selepas keputusan, Ketua Bahagian Pendakwaan Undang-Undang SPRM, Datuk Abdul Razak Musa ketika ditanya memberitahu, keputusan tersebut memberikan pilihan kepada saksi untuk datang membantu siasatan suruhanjaya.

‘‘Dalam kekangan masa disebabkan kesibukan tugas, saksi boleh datang pada bila-bila waktu untuk keterangan mereka direkodkan kerana SPRM beroperasi 24 jam,’’ kata Abdul Razak.

Dalam perkembangan sama, Karpal ketika ditanya memberitahu bahawa pihaknya akan mengemukakan permohonan untuk merayu di Mahkamah Persekutuan.

Ini kerana menurut Karpal, keputusan itu membawa implikasi besar dan secara tidak langsung memberikan gambaran bahawa SPRM boleh membawa sesiapa sahaja ke premis mereka untuk direkodkan keterangan meskipun larut malam.

Walhal tambah Karpal, hak seseorang saksi perlu dijaga demi menjamin mereka sentiasa berada dalam keadaan yang selesa sepanjang disoal siasat.

http://utusan.com.my/utusan/

2 responses to “Siasat tanpa had waktu – Utusan Malaysia

  1. KUNJUNGAN HABIB UMAR BEN HAFIZ KE MALAYSIA JANUARY 2010 : http://wp.me/piAx4-ZY

  2. Majlis Bersama Ulama Besar Dari Yaman : http://wp.me/piAx4-ZY

    Program Bersama Dr Wahbah Mustafa Al Zuhaily : http://wp.me/piAx4-103

    Amalan Yang Disunatkan Pada 10 Muharram : http://wp.me/piAx4-ZT

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s