Kebanyakan masjid di ibu negara nasihat umat Islam usah terjebak

Khatib seru elak perhimpunan
Oleh Meor Hisham Zulkifli, Mohd Anwar Patho Rohman, Haspaizi Mohd Zain dan Badrul Kamal Zakaria
bhnews@bharian.com.my
2011/07/02

KUALA LUMPUR: Khutbah Jumaat yang disampaikan khatib di kebanyakan masjid di ibu negara semalam menasihat dan meminta umat Islam di negara ini supaya tidak menyertai perhimpunan haram anjuran kumpulan tertentu Sabtu depan.
Khatib yang menyampaikan khutbah mengingatkan umat Islam supaya sedar bahawa penganjur perhimpunan haram itu berselindung di sebalik nama perjuangan hak asasi manusia, perjuangan politik, menggunakan media cetak dan elektronik, kemudahan internet serta meniru tindakan keganasan di negara asing bagi menekan, mengugut pemerintah serta rakyat memenuhi tuntutan mereka.
Khatib di Masjid Saidina Abu Bakar, Bangsar dalam khutbahnya, menegaskan penganjur perhimpunan haram itu sebagai pengkhianat negara dan haram hukumnya bagi umat Islam menyertainya kerana ia mendatangkan keburukan, kegelisahan dan kesusahan kepada masyarakat.

“Mimbar menegaskan tindakan golongan pengkhianat ini adalah satu tindakan zalim dan haram bagi umat Islam mengikutinya kerana cara itu sebenarnya satu tindakan yang boleh mencampakkan manusia di dalam kebinasaan, mendatangkan keburukan, kegelisahan dan kesusahan kepada masyarakat.

“Semua golongan terutama umat Islam yang cintakan agama, bangsa dan negara dituntut supaya tidak terbabit dalam perhimpunan haram itu. Jangan sekali-kali terjebak dengan demonstrasi dikenali sebagai Perhimpunan BERSIH.

“Jangan kita terikut-ikut rayuan mereka dan jangan termakan budi dengan golongan yang tidak menyedari asal usul, tidak memahami adat budaya, latar belakang penduduk dan agama di negara ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan, Islam menolak mana-mana gerakan-gerakan yang boleh menghuru-harakan keamanan sesebuah negara termasuk gerakan pelampau.

Katanya, ia selari dengan sabda Rasulullah SWT yang bermaksud “Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada bersikap pelampau, maka sesungguhnya umat sebelum kamu dibinasakan kerana bersikap melampau dalam agama.”

Katanya, isu ancaman ini perlu diambil perhatian semua pihak kerana ia membabitkan keselamatan negara dan jika perkara itu tidak dipatuhi, keutuhan bangsa akan hancur dan memusnahkan kedaulatan negara.

Khatib di Masjid Saidina Umar Bandar Damansara turut menasihatkan umat Islam memelihara nikmat keamanan dan bersyukur bahawa negara berada dalam suasana aman damai walaupun menghadapi beberapa isu yang boleh mengancam keselamatan negara.

Sementara itu, di Masjid Jamek Kampung Baru, khatib yang berkhutbah menggesa masyarakat Islam, terutama penduduk di sekitar kawasan itu agar tidak menyertai perhimpunan haram yang dijangka akan diadakan pada hari itu.

“Mimbar menggesa umat Islam dan penduduk di Kampung Baru supaya tidak akan menyertai perhimpunan haram pada 9 Julai depan kerana perhimpunan seumpama itu jelas lebih banyak memberi keburukan kepada masyarakat kerana ia akan menimbulkan huru-hara dan juga perpecahan perpaduan di kalangan kita sendiri,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Khatibseruelakperhimpunan/Article/index_html

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s