Pas hilang portfolio Hal Ehwal Agama

Oleh HELMI MOHD. FOADdan ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my

SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan watikah pelantikan Dr. Ahmad Yunus Hairi sebagai Exco kerajaan negeri di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, semalam. – UTUSAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI

SHAH ALAM 18 Jan. – Pas Selangor menerima tamparan hebat apabila bukan sahaja Pesuruhjayanya, Dr. Abdul Rani Osman tidak dilantik menjadi Exco kerajaan negeri yang baru malah turut kehilangan portfolio Hal Ehwal Agama yang sebelum ini disandang oleh Datuk Dr. Hasan Ali yang digugurkan daripada jawatan itu Jumaat lalu.

Ini berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Dr. Ahmad Yunus Hairi, 47, yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini hanya diberikan portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan.

Melalui satu rombakan kecil pentadbiran negeri, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil alih dua portfolio penting iaitu Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri yang sebelum ini dipegang oleh Hasan.

Kedua-dua portfolio itu diketuai sendiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pada masa sama, beliau kekal menguasai portfolio Pembangunan Tanah, Kewangan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri manakala portfolio Belia dan Sukan diserahkan kepada Dr. Ahmad Yunus.

Pengumuman Dr. Ahmad Yunus menggantikan Hasan itu turut mengesahkan laporan Utusan Malaysia mengenai perkara itu sebelum ini.

Sementara itu, dalam satu langkah yang dilihat sebagai menjaga hubungannya dengan Pas yang mahu Dr. Abdul Rani menggantikan tempat Hasan, Abdul Khalid mengumumkan Pesuruhjaya Pas Selangor itu dilantik sebagai Pengerusi Skim Mikro Kredit Miskin Luar Bandar (Skimsel).

Ahli Dewan Undangan Negeri Bangi, Dr. Shafie Abu Bakar dari Pas pula dipilih sebagai Pengerusi Perbadanan Adat Istiadat Melayu (Padat). Kedua-dua jawatan itu sebelum ini dipegang oleh Hasan.

Hasan pula masih kekal memegang jawatan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ekoran pelantikannya itu berdasarkan kepada watikah daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkuat kuasa bagi sesi 2012 hingga 2014.

Abdul Khalid pada sidang akhbar di sini berkata, pihaknya sendiri telah bercakap dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai pemilihan Dr. Ahmad Yunus sebagai Exco baru selain mengadakan perbincangan dengan kepimpinan parti tersebut termasuk dengan Dr. Abdul Rani mengenai perkara itu.

Beliau berkata, pemilihan Dr. Ahmad Yunus dibuat atas pertimbangan kerja dan mempercepatkan proses menyelesaikan pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, langkah tersebut bukannya membelakangkan pandangan Pas yang sebelum ini menyenaraikan Dr. Abdul Rani sebagai calon pilihan parti tersebut untuk menggantikan tempat Hasan.

Malah katanya, pemilihan Dr. Ahmad Yunus dan juga pengagihan jawatan-jawatan membabitkan agensi kerajaan negeri kepada Dr. Abdul Rani dan Dr. Shafie telah direstui oleh kepimpinan Pas sendiri.

”Kita bincang dengan kepimpinan dan mereka yang matang jika rasa keadaan menjamin perubahan kepada negeri dan pakatan (pembangkang), kita kena ubah dan saya diberikan tanggungjawab untuk menentukan.

”Jadi saya rasa pelantikan Dr. Ahmad Yunus mendapat restu daripada kepimpinan Pas dan Dr. Abdul Rani sendiri, maknanya ia bukan satu pelantikan yang tidak mengambil kira pemikiran dan juga pandangan daripada semua pihak dan Tuanku Sultan Selangor juga diberikan latar belakang tentang pemilihan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid menjelaskan, langkah beliau mengambil alih portfolio Hal Ehwal Agama dibuat memandangkan anggota pentadbirannya iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Zauyah Be T. Loth Khan adalah ahli MAIS.

”Oleh sebab itu, saya ambil alih (portfolio hal ehwal agama Islam) agar saya dapat pengerusikan mereka (Khusrin dan Zauyah) untuk melihat perkembangan dan pembangunan Islam di negeri ini,” katanya yang bukan ahli MAIS.

Ditanya mengenai tumpuannya terhadap portfolio tersebut berbanding Hasan yang sebelum ini bertegas soal arak dan kegiatan gerakan memurtadkan umat Islam, Abdul Khalid berkata, usaha meningkatkan martabat Islam adalah berterusan dan menjadi tugas beliau sebagai individu beragama Islam serta rakan-rakan wakil rakyat lain yang beragama Islam lain tanpa mengira soal parti.

Namun, katanya, perjalanan tugas tersebut perlu dilakukan secara berhemah dan mengambil kira keadaan persekitaran.

”Tujuan kita adalah meningkatkan syariat Islam dan sebab itu ada adab dan cara. Kejayaan Islam berkembang adalah kerana ia mempunyai sistem yang adil kepada semua pihak dan saya akan belajar, sudah tentu akan juga berbincang untuk cara terbaik kita dapat memerintah negeri tetapi tidak hilang panduan dan pandangan mengenai syariah Islam,” katanya.

Kepada soalan adakah beliau berasa lebih selesa sekarang tanpa kehadiran Hasan dalam barisan Exco, Abdul Khalid menepis soalan itu dengan menyatakan pihaknya tidak menjawab soalan berbentuk spekulasi.

http://www.utusan.com.my/

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s