Malayonesia Dicadang Ganti Istilah Nusantara

Jumaat Mac 30, 2012

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

KUALA LUMPUR: Nama ‘Malayonesia’ mungkin dicadangkan untuk menggantikan istilah Nusantara sebagai nama rasmi bagi negara-negara yang menggunakan bahasa Melayu sebagai lingua franca atau bahasa perantaraan di Asia Tenggara.

Felo Penyelidik Kanan, Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya (UM), Prof Dr Shaharir Mohamad Zain berkata, beliau sebenarnya menerima mana-mana istilah selagi ia diguna pakai oleh semua pihak.

“Saya tidak kisah mana-mana istilah pun. Cuma sekarang saya hendak lontarkan (cadangkan), boleh tak setuju (kita) pakai Malayonesia.

“Tetapi kena tengok dululah (persetujuan). Kalau ramai yang setuju, boleh gantilah,” katanya kepada mStar Online di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan Siri Wacana Keterlestarian Ilmu yang bertajuk “Ilmu Malayonesia: Telah, Lani dan Kelak” yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Pusat Dialog Peradaban UM.

Turut hadir adalah Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa (DBP), Nor Hashimah Ali dan Pengarah Pusat Dialog Peradaban UM, Profesor Madya Dr Raihanah Abdullah.

Dalam kertas kerja Dr Shaharir mengenai pembentangan itu, beliau menyatakan bahawa nama Nusantara masih hidup sehingga ke hari ini.

Bagaimanapun katanya, nama itu tidak pernah dapat dijadikan sebagai nama rasmi wilayah atau bahasa yang menyatukan wilayah atau bahasa negara-negara bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan di Asia Tenggara.

“Setakat ini, ramai yang menggunakan Nusantara sebagai istilah itu. Kenapa bila mengajak kerajaan Indonesia supaya dirasmikan (istilah) Nusantara, tetapi (mereka) tidak mahu. Maka sebab itu saya mencari apakah sebabnya,” katanya.

Dr Shaharir dalam kertas kerjanya menyatakan mengenai Nusantara adalah istilah ciptaan kerajaan Majapahit yang tidak termasuk Jawa, dan sebab itu Indonesia enggan menerima istilah itu sebagai nama penyatu Indonesia, Malaysia dan lain-lain negara di Asia Tenggara.

Ketika ditanya mengenai kelebihan Malayonesia bagi menggantikan Nusantara, Dr Shaharir berkata: “Tidak ada kelebihan pun namun perlu ada istilah yang mewakili Asia Tenggara, yang menggunakan bahasa Melayu.”

Bagaimanapun, beliau masih belum mengemukakan cadangan penggantian istilah itu kepada DBP.

“Saya cuma (mahu) mencadangkan supaya DBP menghidupkan semula (istilah). Kalau mahu menghidupkan ‘nusantara’, hidupkanlah.

“Kalau hendak Malayonesia, cuba cadangkan Malayonesia. Yang lain, kalau cadangkan pun kita tak akan terima kerana pernah dicadangkan sebelum ini,” katanya.

Dr Shaharir dalam kajiannya turut menyatakan bahawa kegagalan menggunakan Nusantara untuk nama penyatuan bagi Asia Tenggara menyebabkan tercipta beberapa nama baru seperti Maphilindo (ringkasan Malaysia, Filipina dan Indonesia) serta Malindo (Malaysia dan Indonesia).

Ia berlaku antara tahun 1963 dan 1963 dalam usaha menyatukan negara-negara serumpun itu yang semuanya gagal, ekoran bantahan Filipina dan Indonesia terhadap penubuhan Malaysia.

“Malayonesia akan menjadi sebuah tamadun dalam rumpun bahasa Austranesia atau Asia Tenggara dengan ilmu yang menghayati agama dan bahasa utama tamadun itu, berdasarkan tiga fasa iaitu Melayu kuno, Melayu klasik dan Melayu moden,” katanya.

http://mstar.com.my/

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s