Category Archives: berita hari ini

Apple memperkenalkan iPhone 5


E-mel Artikel
 Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SAN FRANCISCO: Apple memperkenalkan iPhone 5 yang didatangkan dengan reka bentuk iPhone paling nipis tetapi menampilkan skrin lebih besar bersaiz empat inci.

Model terbaru dalam siri iPhone itu diperkenalkan kepada umum oleh Naib Presiden Kanan Apple, Phil Shiller.

Sekali imbas, iPhone 5 kelihatan sama seperti model sebelum ini, cuma lebih panjang dan nipis. Ia didatangkan dengan paparan 1,136 x 640 piksel, teknologi 4G LTE, chip A6 dan seberat 112 gram.

Antara ciri paling dipertingkatkan ialah kameranya yang kini didatangkan dengan pengimbas 8 megapiksel, resolusi 3,264 x 2,448 piksel dengan teknologi iluminasi di bahagian belakang, penapis IR hibris, lensa lima ciri, bukaan f2.4 selain boleh mengambil gambar panorama. Kamera video iPhone 5 didatangkan dengan kualiti HD 1080p.

 Berbanding model terdahulu iaitu iPhone 4S, iPhone 5 lebih nipis sebanyak 18 peratus dan 20 peratus lebih ringan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/13

Kad Diskaun Untuk Anggota Polis Dan Tentera

Oleh ZUHRIN AZAM AHMAD

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan kad 1Malaysia Privilege Card selepas melancarkannya di Putrajaya, Selasa. Turut sama (dari kiri) Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa.-fotoBERNAMA

 

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa melancarkan 1Malaysia Privilege Card untuk anggota pasukan polis dan tentera.

Sejumlah 241,000 pegawai dan anggota yang berkhidmat akan menerima kad yang menawarkan diskaun antara lima peratus dan 25 peratus.

Setakat ini 20 syarikat termasuk Proton, BHP dan Genting telah mendaftar untuk menawarkan diskaun.

Najib berkata inisiatif itu untuk mengiktiraf pengorbanan dan komitmen anggota polis dan tentera.

Beliau berkata dengan diskaun yang ditawarkan, ia akan membesarkan pendapatan boleh guna mereka.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2012/8/8/mstar_berita/20120807171244&sec=mstar_berita

Rumah Adun Ajil musnah dalam kebakaran di Hulu Terengganu

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

HULU TERENGGANU: Rumah kediaman anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Datuk Rosol Wahid musnah dalam kebakaran di Kampung Batu 23, di sini, malam tadi.

Kejadian pada 10.15 malam itu memusnahkan hampir 90 peratus struktur rumah berkenaan.

Rosol berkata ketika kejadian, kesemua anggota keluarganya tiada di rumah kerana berbuka puasa dan bertarawih di luar.

Menurutnya, beliau hanya dimaklumkan kejadian itu oleh isterinya Toh Puan Halipah Ahmad yang pulang daripada berbuka puasa di rumah kakaknya di Kampung Baung, di sini.

 
“Sebaik dia membuka pintu rumah isteri melihat kepulan asap dan api marak dari bahagian dapur rumah lantas menelefon saya memaklumkan insiden itu,” katanya ketika ditemui malam tadi.

“Ketika kejadian saya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama Yayasan Pembangunan Usahawan di Kuala Terengganu. Saya minta isteri supaya tenang dan jangan masuk ke dalam rumah, bimbang kejadian lebih buruk akan berlaku,” katanya.

Menurutnya, beliau reda dengan kejadian yang berlaku namun terkilan kerana lebih 2,000 buah buku yang dikumpulkan sejak 10 tahun lalu turut hangus dijilat api.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Mohd Zazuli Badru berkata ketika pasukan bomba tiba di lokasi, api sedang marak dan mereka mengambil masa 30 minit untuk memadam kebakaran.

Dua jentera bomba dari Balai Bomba Kuala Berang dan Balai Bomba Wakaf Tapai dihantar ke tempat kejadian bersama 14 anggota dan pegawai.

Turut ke lokasi kejadian selepas mendapat berita kebakaran itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, Adun Teluk Pasu, Datuk Abdul Rahin Mohd Said dan Adun Bukit Besi, Datuk Din Adam. – Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/08

http://www.hmetro.com.my/articles/RumahAdunAjilmusnahdalamkebakarandiHuluTerengganu/Article

‘Saya tidak gentar lagi jumpa Lin Dan’ – Chong Wei

 

Chong Wei beraksi mantap menewaskan Chen Long, kelmarin.Chong Wei beraksi mantap menewaskan Chen Long, kelmarin.

Lee Chong Wei bersuara betapa dia tidak akan terasa gementar lagi seperti dirasai di Beijing, empat tahun lalu ketika kecundang mudah kepada Lin Dan dalam final.

Pada firasatnya, Wembley Arena adalah gelanggang berkecuali dan dia – seperti lawan – juga berpeluang memburu pingat emas, hari ini.

“Saya akan bermain di gelanggang berkecuali kali ini. Saya amat harap tuah akan memihak saya esok (hari ini),” kata pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 itu.


Selepas empat perlawanan, termasuk menewaskan Chen Long di separuh akhir, kelmarin, Chong Wei seperti sudah kembali kepada tahap keyakinan asal tapi berpandu kepada corak permainan dan kekuatan Lin Dan setakat ini jaguh negara tetap bakal meniti ranjau sukar.

Kata-kata pujian daripada pengulas televisyen BBC di London, kelmarin ada kewajarannya apabila dia menyifatkan persembahan wakil negara dalam separuh akhir tempoh hari sebagai cemerlang dan mantap.

Andai dua elemen ini mampu disambung lagi, tiada apa yang mustahil, hari ini kerana detik menang atau kalah nanti berada di tangan Chong Wei.

“Lin Dan hebat dan saya pun rasa selesa ketika ini. Peluang kami 50-50,” katanya yang hanya mahu memberi tumpuan kepada permainannya dan bukan apa yang mampu dilakukan lawan. 
Beri semangat

Dalam separuh akhir, kelmarin Chong Wei mengatasi Chen Long 21-13, 21-14 manakala Lin Dan menewaskan Lee Hyun-il dari Korea Selatan 21-12, 21-10.

Sementara itu, Lin Dan berkata dia gembira dapat bertemu lawannya itu sekali lagi dalam final Olimpik dan berkata mereka tetap hebat kerana mampu layak ke peringkat sama selepas empat tahun.

“Saya berharap kami mencapai cita-cita memburu emas dan saya harap Lee (Chong Wei) juga akan mendapat tuah sama dalam misinya,” kata juara bertahan itu.

Sementara itu, Rashid Sidek – pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1996 di Atlanta – amat mengharapkan Chong Wei akan membawa pulang emas untuk negara.

“Saya akan cuba memberi semangat dan mencurahkan segala pengalaman kepada Chong Wei kerana saya mahu dia menang. Dia tampak ada sifat ghairah mahu menang dan saya akan membantunya kerana saya pernah merasai suasana itu dulu,” kata bekas jaguh kebangsaan itu.

Seperkara yang ketua jurulatih perseorangan negara itu bimbang adalah muslihat milik Lin Dan yang sukar dibaca dan meminta anak buahnya berwaspada setiap minit kerana pemain China itu bijak mengajak lawan melakukan kesilapan.

“Saya nampak semangat Chong Wei tinggi… dia sudah tidak diganggu faktor kecederaan dan ini satu petanda baik. Dia kena fokus, fokus dan fokus kepada permainan dan pantas sekat langkah Lin Dan,” katanya.

Lelaki amuk di JPM dakwa dia ‘Imam Mahadi’

 

TUAN NURSUHAILA RAJA MUHAMMAD
9 Julai 2012
Lelaki amuk di JPM dakwa 'Imam Mahadi'
Kereta Perodua Kancil mengalami kerosakan selepas diserang oleh lelaki yang mendakwa dirinya ‘Imam Mahadi’.
Dua mengamuk di JPM, seorang mati
Dua suspek yang mengamuk mengalami kecederaan selepas ditembak polis. – Foto Ihsan News Media Network

PUTRAJAYA – Menggelar dirinya ‘Imam Mahadi’, seorang lelaki bersama seorang wanita bersenjatakan pedang samurai mengamuk di pekarangan kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum menyerang polis bantuan untuk memasuki kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata, dalam kejadian jam 2.30 petang tadi, kedua-dua suspek menuju ke pos pengawal keselamatan sebelum dihalang oleh polis bantuan.

Bagaimanapun suspek lelaki meletakkan pedang samurai di leher polis tersebut.

 

[BERITA BERKAITAN:Dua mengamuk di JPM, seorang mati]
Menurutnya, polis bantuan yang bertugas terpaksa membenarkan kedua-dua suspek dan ketida berada di Kompleks B, suspek telah melibas pedang dan merosakkan dua cermin kereta jenis Hyundai Accent dan Perodua Kancil milik kakitangan JPM.

“Setelah menerima maklumat dari Pusat Kawalan,anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) sampai di tempat kejadian dan memperkenalkan diri sebagai polis, namun turut diserang oleh kedua-dua suspek guna pedang samurai.

“Anggota Cawangan Kereta Peronda (MPV) sampai untuk bagi bantuan turut diserang dari jarak dekat sebelum salah seorang anggota melepaskan tiga das tembakan mengenai kedua-dua suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini lewat petang ini.

Abdul Razak berkata, suspek lelaki yang juga penganggur berasal dari Petaling Jaya berumur 47 tahun cedera terkena dua das tembakan di bahagian bawah perut (ari-ari) dan tangan kanan manakala suspek wanita juga seorang penganggur, berumur 28 tahun, cedera terkena tembakan di paha kanan.

“Suspek lelaki meninggal di hospital manakala suspek wanita menerima rawatan di Hospital Putrajaya dan dilaporkan stabil.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek lelaki berkenaan mengaku dirinya ‘Imam Mahadi’,” katanya.

Menurut Abdul Razak, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada suami suspek, isterinya yang juga bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia baru seminggu mengenali suspek lelaki berkenaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, cubaan membunuh polis,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/semasa/lelaki-amuk-di-jpm-dakwa-dia-imam-mahadi-1.65015

PM lancar iTR1M bantu pelajar di Selangor

PUTRAJAYA 28 Jun – Kerajaan meluluskan peruntukan RM2 juta daripada Dana Khas untuk melaksanakan program Interaktif – Tuisyen Rakyat 1Malaysia (iTR1M) untuk memberi tuisyen secara percuma kepada 10,000 pelajar di negeri Selangor yang bakal menduduki peperiksaan umum pada tahun ini.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan program yang dilaksanakan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) di kediamannya, Seri Perdana di sini hari ini. Hadir sama ialah Pengerusi YGMB Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Alimuddin berkata projek perintis yang dilaksanakan di negeri Selangor akan memanfaatkan pelajar yang tidak mampu menghadiri kelas tuisyen berbayar tetapi bakal menduduki peperiksaan UPSR, PMR dan SPM pada tahun ini.

“Program iTR1M ini akan meningkatkan prestasi akademik bagi anak-anak golongan berpendapatan rendah untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran di sini hari ini.

Alimuddin berkata program yang berlangsung dari 18 Jun hingga Oktober ini dilaksanakan di 107 buah sekolah, iaitu 30 buah sekolah menengah dan 77 buah sekolah rendah di Selangor.

Beliau berkata seramai 350 guru akan memberi tuisyen dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jummat.

“Matlamat Program iTR1M adalah untuk memberi bimbingan di luar waktu sekolah secara percuma kepada anak-anak golongan berpendapatan rendah pelbagai kaum dan membantu mereka mengoptimumkan penggunaan “Netbook 1Malaysia” dan kemudahan ICT yang disediakan kerajaan,” katanya.

Alimuddin berkata di bawah program ini, calon UPSR menggunakan kaedah pembelajaran dan penilaian kendiri secara online dari rumah, sekolah dan pusat komuniti (Perpustakaan Desa, Pusat Jalur Lebar Komuniti dan medan Infodesa).

Beliau berkata bagi calon PMR dan SPM, bimbingan secara konvensional di beberapa sekolah menengah terpilih diadakan dari pukul 3 hingga 5 petang, pada setiap Isnin, Rabu, dan Jumaat.

Selain itu, beliau berkata calon SPM yang mengambil mata pelajaran Sains Tulen (Biologi, Kimia dan Fizik) akan menggunakan kaedah pembelajaran dan penilaian kendiri secara online dari rumah.

“Seminar dan bengkel persediaan menghadapi peperiksaan yang akan diadakan menjelang tarikh peperiksaan,” katanya. – BERNAMA

http://www.utusan.com.my/

Isu Scorpene: Tiada Keperluan Tubuh RCI

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan bagi kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pembelian kapal selam Scorpene yang dikendalikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pembelian kedua-dua kapal selam berkenaan dibuat mengikut tatacara pelaksanaan kontrak perolehan peralatan pertahanan negara.

“Ia melibatkan pelbagai peringkat kelulusan termasuk Jawatankuasa Rundingan Harga setelah penilaian yang teliti dibuat demi memastikan perolehan tersebut menepati keperluan ATM.

“Selain itu rujukan juga dibuat kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan kelulusan ke atas klausa-klausa kontrak tersebut. Semua terma dan kelulusan untuk rundingan terus dikemukakan kepada Kementerian Kewangan,” katanya ketika menggulung ucapan penangguhan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) pada persidangan Dewan Rakyat, Selasa.

Selain itu Ahmad Zahid memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan Malaysia tidak akan memohon untuk menjadi pemerhati di Mahkamah ‘Tribunal de Grade Istance’, Perancis.

“Kerajaan Malaysia difahamkan bahawa tiada perbicaraan berlangsung di Perancis berhubung isu kapal selam Scorpene,” katanya.

Dalam pada itu ketika menggulung ucapan Nurul Izzah yang menyentuh mengenai isu komisen dan penjualan dokumen rasmi Scorpene, Ahmad Zahid dengan tegas menafikan dakwaan tersebut.

“Kementerian tidak pernah membayar sebarang bayaran komisen sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada mana-mana syarikat dalam perolehan kapal selam Scorpene.

“Perolehan kapal selam tersebut dibuat secara runding terus selaras dengan tatacara perolehan kerajaan dengan syarikat pembuat iaitu Perancis dan Sepanyol yang telah mendapat persetujuan kerajaan masing-masing.

“Kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai bahawa dua buah kapal selam Scorpene dibeli daripada Syarikat Thales International adalah tidak benar,” katanya.

Selain itu Ahmad Zahid menyatakan bahawa kementerinya tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai dakwaan penjualan dokumen rahsia oleh Syarikat Terasasi (Hong Kong) kepada Syarikat Thint Asia (Thales International) yang didakwa bernilai 36 juta euro.

“Kementerian juga tidak mempunyai sebarang maklumat dakwaan bayaran secara berkala daripada Thint Asia kepada Syarikat Terasasi (Hong Kong),” katanya.

http://mstar.com.my/

Siapa isteri saya nak ugut Ali Tinju-Zahid Hamidi

zahid2xx

 [VIDEO DI RUANGAN VIDEO AGENDADAILY]

Siapa isteri saya nak ugut Ali Baharom?  Ini yang  Datuk Seri Zahid Hamidi tanya semasa menjawab isu dakwaan kononnya isteri beliau,Datin Seri Hamidah menghantar SMS ugutan kepada Presiden Veteran Melayu Malaysia (PVTM), Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai ‘Ali Tinju’ yang sebelum ini merancang hendak mengadakan demonstrasi depan  Kementerian Pertahanan.

Menteri Pertahanan itu memberitahu  isteri beliau mengenali Ali kerana mereka dari satu kampung di Melaka.
“Saya bertanya isteri saya, beliau kata hantar 16 SMS padanya. Saya teliti tak adapun dia mengugut Ali. Dia hanya tunjuk satu sms sahaja,” katanya kepada media di lobi Parlimen, Selasa,

SMS yang Ali dakwa bernada ugutan itu berbunyi, “Perlu diingat Datuk Seri Zahid Hamidi bukan sendirian dan (dia) bermaruah. Saya tak fikir orang-orang akan berdiam diri dan senang-senang nak buat kacau-bilau depan Mindef”.

Katanya SMS berkenaan hanya ditunjuk sekerat sahaja.sebenarnya ia berupa satu nasihat jika SMS itu dibaca sepenuhnya.

Lagipun dari 16 SMS yang dihantar oleh isterinya,Ali hanya tunjuk satu sahaja untuk dijadikan sandaran dakwaannya.

“Ali Tinju ini perangai, dia akan hantar SMS kepada semua orang, termasuk isteri saya. Jadi, isteri saya hantar SMS untuk nasihatkan Ali, tetapi Ali hanya petik satu ayat sahaja daripada SMS isteri saya,” katanya.

Zahid berkata Ali biasa mengugut orang sebab itu rasa dirinya diugut.

Ali sebelum ini memberitahu PVTM telah menangguhkan hendak berdemo depan Kementerian Pertahanan pada 29 Jun ini kerana Zahid tidak berada di pejabat hari itu.

Presiden PVTM itu mendakwa kononnya Zahid hendak lari berehat dua hari di kem komando di Mersing.

“Itu hak dia nak buat demonstrasi. Kenapa harus tipu kata tidak dapat jumpa Saya pada kononnya saya di kem Mersing. Saya tak pergi pun. Jangan tipu,” katanya.

Beliau menasihatkan Ali berkhidmat secara jujur.

Menurut Zahid, beliau tahu berapa ramai orang yang Ali ugut jika tidak membantunya.

“Saya tak mahu gaduh dengan orang yang tak betul ni,” ujarnya.

Mengulas tindakan Ali dan beberapa orang lain mengadakan senaman punggung di depan rumah Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga bulan lalu, Zahid menasihati Ali, “ Jangan malukan diri sendiri,”.

Ali baru-baru ini dipetik portal pembangkang mendakwa menerima sms ugutan daripada isteri Zahid yang melarangnya mengadakan demonstrasi di depan Kementerian Pertahanan kerana Zahid dikatakan gagal menjaga kebajikan ahli-ahli persatuan itu.- 26/6/2012- OLEH ROSLAN BIAN

http://www.agendadaily.com/Muka-Hadapan/siapa-isteri-saya-nak-ugut-ali-tinju-zahid-hamidi.html

Terus sokong dasar kerajaan

SHEIKH Mahmoud Abdel Ghany Mahmoud Ashour (kiri) mendengar pertanyaan daripada moderator majlis, Profesor Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid pada Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam. – MINGGUAN/MOHD NAIM AZIZ

KUALA LUMPUR 16 Jun – Rakyat Malaysia harus berterima kasih dan terus menyokong dasar kerajaan yang diamal selama ini kerana ia membantu membangunkan Malaysia sebagai antara negara Islam termaju di dunia.

Bekas Timbalan Syeikhul Universiti A-Azhar, Sheikh Mahmoud Abdel Ghany Mahmoud Ashour berkata, kerajaan Malaysia yang diketuai oleh seorang pemimpin Islam telah banyak melakukan kebaikan kepada masyarakat serta berusaha membangunkan (mendaulatkan) Islam dan ia seharusnya perlu terus disokong.

“Pemerintah Islam Malaysia telah lakukan banyak kebaikan serta membangunkan Islam, maka tidak patut untuk cuba menjatuhkannya terutama melalui cara tidak demokratik.

“Oleh kerana kerajaan telah lakukan sebaik mungkin untuk kesejahteraan rakyat, maka patut rakyat terus beri peluang dan menyokong. Jangan timbulkan sesuatu perkara yang boleh menghalang perkembangan pembangunan kerana ia boleh menjadi fitnah pula kepada masyarakat itu sendiri,” katanya ketika membentang kertas kerja bertajuk Fiqh Mentaati Pemimpin: Cabaran Semasa Pemerintahaan Islam di sini hari ini.

Beliau adalah antara pembentang kertas kerja pada Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini yang bermula semalam hingga 17 Jun ini.

Seminar tiga hari itu bertujuan membincangkan isu dalam ilmu Fiqh yang sering diabaikan iaitu prinsip membabitkan hubungan rakyat dan pemimpin.

Sheikh Mahmoud Ashour turut memberi ingatan agar tiada pihak yang menggunakan Islam untuk menakutkan masyarakat.

“Dalam proses mewujudkan sebuah negara Islam, tidak wajar menimbulkan suasana takut kepada masyarakat dan tidak boleh memperjuangkan Islam secara kasar,” katanya.

Beliau menekankan bahawa dalam memperjuangkan Islam, nama tidak penting, sebaliknya isi perjuangan lebih penting.

Sementara itu, Ahli Akademik dari Arab Saudi, Ahmad Hamad al-Jilani berkata, masyarakat Islam perlu bersatu dalam apa jua keadaan biarpun masing-masing mempunyai perbezaan politik.

Menurut beliau, Islam tidak menghalang umatnya mempunyai pandangan berbeza tetapi ia tidak boleh menjejaskan perhubungan sesama mereka.

”Jika rakyat mempunyai pandangan berbeza dengan pemimpin, maka mereka boleh menegurnya secara baik kerana rakyat perlu memuliakan pemimpin dan mereka perlu mentaatinya dalam hal kebaikan.

”Rakyat juga tidak boleh mengikut pemimpin secara membabi buta selain mendoakan segala yang baik kepada mereka jika mereka tidak berlaku adil,” katanya. – BERNAMA

http://www.utusan.com.my/

China berjaya lancar Shenzhou-9

BEIJING 17 Jun – China berjaya melancarkan kapal angkasa Shenzhou-9 dengan misi membawa angkasawan wanita pertama ke angkasa lepas pada pukul 6.37 petang semalam.

Menurut angkasawan wanita, Liu Yang dia bangga menjejak ke angkasa lepas dan mewakili beribu-ribu wanita di negara tersebut.

“Saya rasa sangat bangga dapat ke angkasa lepas dan mewakili keseluruhan wanita di negara ini,’’ ujarnya sebelum berlepas.

Kapal angkasa tersebut membawa tiga angkasawan termasuk seorang Liu Yang.

Shenzhou-9 adalah kapal angkasa lepas China yang membawa manusia pertama berlabuh di modul makmal angkasa Tiangong 1 dan merupakan langkah terbaru dalam menyasarkan untuk mewujudkan stesen angkasa lepas kekal negara itu menjelang 2020. – AFP