Camry: Kerajaan Perak tidak patriotik

KUALA KANGSAR 13 Dis. – Kerajaan Perak disifatkan tidak patriotik apabila sanggup menggunakan kereta Toyota Camry 2.4 bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Penggunaan kereta import berbanding kereta buatan tempatan juga bererti kerajaan negeri sanggup mengalirkan wang ke luar negara untuk membeli kereta-kereta berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Manong, Datuk Ramly Zahari berkata, walaupun kos membaiki serta menyelenggara Proton Perdana tinggi, pembelian kereta tersebut menyebabkan mata wang negara mengalir dalam negeri.

“Saya anggap tindakan kerajaan negeri ini sebagai tidak patriotik dan melanggar arahan Kerajaan Pusat sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Pejabat Kemajuan Daerah Kinta dan Kuala Kangsar di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Perak (JPP), Datuk Zainal Abidin Omar.

Beliau diminta mengulas tindakan Kerajaan Perak meluluskan pembelian sebanyak 16 buah kereta Toyota Camry 2.4 bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kos membaiki serta menyelenggara Proton Perdana yang begitu tinggi dan sering mengalami kerosakan.

Mengulas lanjut Ramly berkata, sepatutnya kerajaan negeri lebih mengutamakan penggunaan kereta nasional sebagai satu langkah untuk memartabatkan lagi kereta buatan tempatan.

Sementara itu di KUANTAN, Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) juga menyifatkan kerajaan Perak sebagai ‘mengkhianati’ negara apabila menggunakan kereta buatan luar bagi menggantikan kereta tempatan sebagai kenderaan rasmi.

Presidennya, Mohd. Firdaus Abdullah menegaskan, tindakan kerajaan negeri itu seolah-olah memperlekehkan kereta buatan tempatan yang dianggap tidak layak menjadi kenderaan rasmi kerajaan negeri.

“Kerajaan Perak telah membelakangkan kemampuan kereta tempatan apabila memilih Toyota untuk menjalankan urusan rasmi kerajaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Mohd. Firdaus berkata, pemimpin kerajaan di Perak sepatutnya menjadi contoh kepada rakyat dengan menggunakan kenderaan buatan tempatan.

“Apabila pemimpin kerajaan menggunakan kenderaan buatan luar, ia juga mendorong rakyat untuk tidak menggunakan kenderaan buatan tempatan,” katanya.

http://www.utusan.com.my/

3 responses to “Camry: Kerajaan Perak tidak patriotik

  1. Pingback: Tahniah ! atas pembelian kereta Camry oleh kerajaan Perak ! « Keris Pusaka Melayu

  2. Pemimpin mesti menunjukkan contoh yang baik kepada rakyatnya. Gunakanlah barangan buatan Malaysia. Mengapa nak dimegahkan dengan barangan buatan negeri. Kalau begini sikap kerajaan negeri Perak yang di pimpin oleh ORANG PAS, Islam apa itu. Kalau macam itu, orang PAS buatlah perangai seperti orang barat. Menteri Besar Perak janganlah nak tunjuk diri sebagai seorang yang Islamik kerana tindak tanduk mu selama ini lebih banyak tunduk dan jadi patung kepada pemimpin DAP. Lebih baik letak jawatan daripada menjual maruah Melayu dan Agama Islam kepada orang bukan Melayu.

  3. KUALA TERENGGANU, 14 Sept (Bernama)– Dua pemilik bengkel hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan memalsukan dokumen untuk tuntutan penyelenggaraan Proton Perdana V6 Executive milik kerajaan negeri Terengganu.

    Tor Kok Siong, 52, pemilik bengkel di Bukit Kecil dan Choong Yuen Sang, 48, pemilik bengkel di Chendering dekat sini dihadapkan ke mahkamah secara berasingan bagi tujuan pendakwaan.

    Di Mahkamah Sesyen 2, Tor yang diwakili peguam Osman Bakar menghadapi empat pertuduhan memalsukan dokumen tuntutan penyelenggaraan kereta Proton Perdana V6 Executive melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM72,230.73.

    Bagi pertuduhan pertama, tertuduh pada Ogos tahun lepas di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Terengganu didakwa telah memberikan kepada Penolong Pegawai Tadbir negeri Hashim Abdul Rahman satu invois yang mengandungi butiran palsu mengenai pembelian 1 PC Auto Transmission V6 berjumlah RM18,057.68.

    Tuntutan itu adalah untuk kenderaan Proton Perdana V6 Executive bernombor pendaftaran TAG 7979 yang sebenarnya pembekalan itu tidak dilakukan dan tuntutan itu dibuat dengan tujuan mengelirukan pemiliknya.

    Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan sama dan di tempat yang sama pada Jun tahun ini dengan menyerahkan invois kepada Pegawai Tadbir Pejabat SUK A Rahim Jusoh yang mengandungi tuntutan palsu bagi pembekalan 1 PC Auto Transmission V6 berjumlah RM18,057.68 melibatkan kenderaan bernombor pendaftaran TT3.

    Tor turut didakwa menyerahkan invois yang mengandungi butiran palsu mengenai pembelian 1 PC Auto Transmission V6 berjumlah RM18,057.69 untuk kenderaan bernombor pendaftaran TT7 kepada individu dan tempat yang sama.

    Tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama pada November 2006 di tempat yang sama dengan menyerahkan satu invois mengandungi tuntutan palsu kepada Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Terenganu (Am/Kewangan) Zulkifly Isa.

    Tuntutan palsu itu dilakukan untuk pembekalan 1 PC Auto Transmission V6 untuk kereta bernombor pendaftaran TAG 8778 berjumlah RM18,057.68 sedangkan kotak gear itu merupakan kotak gear asal dan tidak ada penggantian dilakukan.

    Bapa dua anak itu mengaku tidak bersalah ketika pendakwaan dibacakan di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 6 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara 14 hari dan denda lima kali nilai suapan.

    Timbalan Pendakwa Raya Badan Pencegah Rasuah Mohd Sophian Zakaria memohon supaya mahkamah mengenakan ikat jamin RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin memandangkan Tor menghadapi pertuduhan memperdayakan kerajaan negeri Terengganu.

    Bagimanapun Osman membantah dengan alasan wang jaminan dikenakan bukan bertujuan untuk menghukum tetapi memastikan keadilan dapat ditegakkan dan dalam kes ini, Tor tidak akan melarikan diri memandangkan dia telah lama menetap di Terengganu dan mempunyai perniagaan serta keluarga di sini.

    Hakim M Bakri kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 untuk setiap pertuduhan serta menetapkan 23 dan 24 Dis ini untuk perbicaraan.

    Di Mahkamah Sesyen 3 pula, Choong didakwa memberikan invois mengandungi butiran palsu mengenai pembekalan Auto Transmission Assy (New) berjumlah RM19 119.91 melibatkan kereta bernombor pendaftaran TAK 415 sedangkan tidak ada penggantian kotak gear dilakukan.

    Invois itu didakwa diberikannya kepada Hashim di Pejabat SUK Terengganu pada 2 Ogos lepas.

    Tertuduh diwakili oleh peguam Siti Saleha Mohd Tahir manakala pendakwaan dilakukan oleh Mohd Sophian di hadapan hakim Mohammad Khalid Abd Karim.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat ikat jamin RM7,000 dan menetapkan 14 Dis ini sebagai tarikh perbicaraan.

    — BERNAMA

Tinggalkan komen