Tag Archives: UTUSAN

MB Selangor jelas insiden ahli Parlimen PKR ditampar – Utusan

SHAH ALAM 19 Julai – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan insiden Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditampar pembantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad juga dari parti sama sebagai masalah biasa yang sering dihadapi oleh anak-anak muda.

Katanya, pertelingkahan yang berlaku itu dianggap sebagai masalah dalaman parti dan telah pun selesai apabila kedua-dua individu terbabit bermaaf-maafan.

“Ia merupakan isu dalaman yang dihadapi oleh anak-anak muda dari PKR di mana masing-masing cuba memperjuangkan hak rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Falak Selangor 2008 di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai kejadian Gwo Burne ditampar oleh pembantu kepada Nik Nazmi dalam satu kejadian di Petaling Jaya, semalam.

Insiden dikatakan berlaku apabila Gwo Burne mempertikaikan kelulusan projek pembinaan surau di Fasa 2 Desa Mentari, Kelana Jaya.

Sebelum itu, berlaku kekecohan apabila sekumpulan penduduk membantah majlis perasmian tapak surau Al-Istiqamah di situ yang didakwa tidak mendapat kelulusan daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Gwo Burne yang tiba untuk meredakan keadaan, mempersoalkan pembinaan surau berkenaan tanpa kelulusan MBPJ dan ia mengundang kemarahan kumpulan penduduk lain yang mempertahankan projek itu sehingga berlaku perang mulut.

Dalam keadaan tidak terkawal itu, pambantu ADUN berkenaan yang tidak berpuas hati dikatakan menampar muka Gwo Burne menyebabkan polis terpaksa campur tangan meredakan kekecohan.

Berikutan insiden tersebut, dia telah dibawa ke Balai Polis Sungei Way .

Menurut Abdul Khalid, tiada tindakan disiplin akan dikenakan terhadap Gwo Burne dan pembantu ADUN itu.

Jelasnya, beliau telah mengarahkan Pengerusi PKR Bahagian Kelana Jaya, Syed Shahir Syed Mohamud supaya berjumpa penduduk terbabit bagi menerangkan keadaan sebenar.

Utusan terus dianiaya di Perak – Utusan

IPOH 4 Julai – Kerajaan campuran negeri Perak meneruskan tindakannya memboikot akhbar Utusan Malaysia yang dituduhnya bersikap perkauman kerana memperjuangkan nasib orang Melayu.

Terbaru, kerajaan negeri yang ditunjangi DAP itu mengarahkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) supaya tidak mengeluarkan pelekat kereta percuma kepada wakil media akhbar itu.

Sebelum ini, MBI mengeluarkan lima pelekat kereta kepada setiap agensi media massa termasuk Utusan Malaysia bagi kemudahan meletak kenderaan secara percuma.

Bahagian Perhubungan Awam dan Antarabangsa MBI dalam satu kenyataan di sini hari ini menyatakan, kerajaan negeri telah mengarahkan pihak majlis untuk mengeluarkan pelekat kereta percuma kepada semua pemberita dan jurugambar media massa kecuali Utusan Malaysia.

”Oleh yang demikian, semua pemberita yang ingin memohon pelekat kereta percuma MBI dikehendaki mengemukakan salinan geran kenderaan masing-masing melalui ketua biro di mana mereka bertugas kepada Pejabat Perhubungan Awam MBI bagi urusan selanjutnya,” kata kenyataan tersebut.

Kerajaan pakatan pembangkang di Perak sebelum ini mengeluarkan arahan supaya semua jabatan kerajaan negeri tidak melanggan akhbar Utusan Malaysia keluaran Utusan Melayu (M) Berhad yang merupakan syarikat milik penuh orang Melayu pertama di negara ini.

Arahan memboikot akhbar Utusan Malaysia hanya dilakukan di dua negeri iaitu Perak dan Pulau Pinang yang dikuasai DAP.

Tindakan kerajaan campuran Perak itu mendapat tentangan beberapa pihak kerana dilihat sebagai halangan kepada kebebasan mendapatkan maklumat.

Kaji guna kenderaan kuasa hidrogen – Utusan – 23.6.08

Astro tayang tiga program baru

Utusan Malaysia

STESEN televisyen berbayar terkemuka negara, Astro menampilkan tiga program baru dalam usaha memberikan hiburan yang menarik bagi tatapan para pelanggan setianya.

Tidak dinafikan dua saluran popularnya iaitu Ria (saluran 104, Astro) dan Prima (saluran 105, Astro) mempunyai peminatnya tersendiri. Kedua-duanya juga mempunyai pendekatan yang berbeza dalam menarik perhatian penonton setia mereka.

Kali ini, dengan kerjasama Firdaus Maju Sdn. Bhd. (FMSB), Astro meneruskan lagu usaha dan objektifnya dalam mencari pendekatan baru untuk mempelbagaikan lagi isi kandungan dalam program tempatan. Ia bertujuan memastikan penonton akan tetap setia menonton dua saluran popular itu.

Terbaru, sebuah rancangan yang memaparkan kehidupan artis terkenal tanah air akan menemui penonton menerusi saluran Astro Ria yang diberi nama Cerita Artis Malaysia (CAM).

CAM yang diterbitkan sebanyak 13 episod itu akan mula bersiaran hari ini dengan menampilkan pelakon dan penyanyi terkenal satu ketika dulu, Noorkumalasari sebagai pembuka tirai.

Menariknya CAM ialah paparan yang ditampilkan berbeza dengan rancangan hiburan seumpamanya yang diterbitkan sebelum ini.

Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul berkata, pendekatan CAM adalah lebih kepada merungkaikan cerita luar dan dalam seseorang artis itu yang mungkin tidak pernah diketahui o peminat sebelum ini.

“Pemilihan artis dalam CAM juga amat berbeza dan kami percaya ia mampu menarik perhatian penonton untuk terus mengikuti CAM.

“Artis-artis yang kami tampilkan merangkumi artis-artis popular masa kini mahu pun yang pernah berada di puncak populariti satu ketika dulu,” katanya pada sidang akhbar baru-baru ini.

Turut hadir sama adalah Pengurus Saluran Astro Prima, Khairul Anwar Salleh dan juga Penolong Naib Presiden FMSB, Syahril A. Kadir.

Khairul Mizan turut menjelaskan, teknik penceritaan CAM juga lebih kepada realiti dengan menampilkan individu-individu yang pernah bersama mahupun terlibat dengan artis terbabit.

Tambahnya juga, peminat akan dapat mengetahui kisah jerit perih dan kehidupan di sebalik kilauan glamor seseorang artis itu menerusi CAM.

“Malah, CAM juga tidak ada pengacara mahupun hos yang mengendalikannya. Dengan ini, ia akan membuatkan penyampaian CAM lebih menarik dan membuatkan penonton terasa dekat dengan artis pujaan mereka dan tidak akan berasa bosan,” jelasnya lagi.

Selain Noorkumalasari, antara artis-artis lain yang akan ditampilkan dalam CAM ialah Datuk Siti Nurhaliza, Aznil Nawawi, Fauziah Ahmad Daud, Search dan Wings.

Selain CAM, untuk mewarnai saluran Prima pula, sebuah rancangan baru yang berjudul Citra Manusia (CM) akan menemui penonton bermula 24 April depan dengan menampilkan pelakon, penyanyi dan pelawak terkenal, Jalil Hamid sebagai pengacaranya.

Menjelas lanjut mengenai CM, Syahril pula berkata, tema utama yang diangkat menerusi rancangan ini adalah untuk menyanjung pahlawan yang tidak didendang atau wira yang selama ini dipandang enteng oleh sebilangan masyarakat kita.

“Kami mahu membuktikan kepada masyarakat bahawa ada insan di luar sana yang mampu berjaya meskipun pelbagai dugaan dan cabaran hebat yang perlu mereka tempuhi.

“Mereka yang terpilih untuk dipaparkan dalam rancangan ini sebenarnya sebagai mewakili golongan mereka yang mampu merobah persepsi lapuk masyarakat terhadap mereka,” jelasnya sambil menafikan CM cuba meniru konsep yang pernah diterbitkan oleh stesen televisyen lain sebelum ini.

Begitu juga dengan rancangan popular di saluran Prima iaitu Exposé Mistik (EM) yang kembali menemui penonton setianya untuk musim kedua pada setiap hari Ahad pukul 7.30 malam bermula 6 April lalu.

Kali ini, EM akan memberi keutamaan dan memberikan pendedahan kepada penonton mengenai perincian dan pembaharuan dalam teknik perubatan tradisional dan Islam dalam memerangi serangan makhluk halus terhadap manusia.

“Malah, dengan adanya pelakon handalan dan aktivis teater yang kami pilih sebagai hos iaitu Khalid Salleh, EM dijangka akan lebih menarik dan mampu menarik perhatian penonton untuk terus menontonnya.

“Apa yang lebih utama juga, EM tidak sahaja tertumpu kepada dunia perubatan Islam malah ia juga akan memfokuskan kepada perubatan alternatif yang lain,” tambahnya sambil menyifatkan rancangan-rancangan terbitan FMSB dikendalikan oleh tenaga muda yang kreatif dan sentiasa tampil dengan idea-idea baru.

* Tajuk: Cerita Artis Malaysia

Tayangan: Setiap hari Isnin bermula semalam, pukul 6.30 petang dan 9.30 malam

Saluran: Ria (saluran 104, Astro)

* Tajuk: Citra Manusia

Tayangan: Setiap hari Khamis bermula 24 April, pukul 9.30 malam.

Saluran: Prima (saluran 105, Astro)

* Tajuk: Exposé Mistik

Tayangan: Setiap hari Ahad bermula kelmarin, pukul 9.30 malam

Saluran: Prima (saluran 105, Astro)