MB Selangor jelas insiden ahli Parlimen PKR ditampar – Utusan

SHAH ALAM 19 Julai – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan insiden Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditampar pembantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad juga dari parti sama sebagai masalah biasa yang sering dihadapi oleh anak-anak muda.

Katanya, pertelingkahan yang berlaku itu dianggap sebagai masalah dalaman parti dan telah pun selesai apabila kedua-dua individu terbabit bermaaf-maafan.

“Ia merupakan isu dalaman yang dihadapi oleh anak-anak muda dari PKR di mana masing-masing cuba memperjuangkan hak rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Falak Selangor 2008 di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai kejadian Gwo Burne ditampar oleh pembantu kepada Nik Nazmi dalam satu kejadian di Petaling Jaya, semalam.

Insiden dikatakan berlaku apabila Gwo Burne mempertikaikan kelulusan projek pembinaan surau di Fasa 2 Desa Mentari, Kelana Jaya.

Sebelum itu, berlaku kekecohan apabila sekumpulan penduduk membantah majlis perasmian tapak surau Al-Istiqamah di situ yang didakwa tidak mendapat kelulusan daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Gwo Burne yang tiba untuk meredakan keadaan, mempersoalkan pembinaan surau berkenaan tanpa kelulusan MBPJ dan ia mengundang kemarahan kumpulan penduduk lain yang mempertahankan projek itu sehingga berlaku perang mulut.

Dalam keadaan tidak terkawal itu, pambantu ADUN berkenaan yang tidak berpuas hati dikatakan menampar muka Gwo Burne menyebabkan polis terpaksa campur tangan meredakan kekecohan.

Berikutan insiden tersebut, dia telah dibawa ke Balai Polis Sungei Way .

Menurut Abdul Khalid, tiada tindakan disiplin akan dikenakan terhadap Gwo Burne dan pembantu ADUN itu.

Jelasnya, beliau telah mengarahkan Pengerusi PKR Bahagian Kelana Jaya, Syed Shahir Syed Mohamud supaya berjumpa penduduk terbabit bagi menerangkan keadaan sebenar.

Tinggalkan komen